JAKARTA, 23 Mac (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah menghubungi beberapa pemimpin negara Islam, termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya berkata selain Anwar, Prabowo turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, menurut Agensi Berita ANTARA.
“Silaturahim ini menjadi sebahagian daripada usaha mengekalkan hubungan erat dan kerjasama antara negara, khususnya ketika menyambut Hari Raya yang penuh makna,” katanya.
Beliau berkata panggilan telefon ketika sambutan Hari Raya bukan sekadar tradisi Aidilfitri, malah menjadi bukti eratnya persaudaraan antara Indonesia dan negara-negara majoriti Muslim lain.
Teddy berkata Prabowo turut menghubungi Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Raja Jordan Raja Abdullah II dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam kenyataan rasmi pada Ahad berkata sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, malah menjadi ruang diplomasi, mengukuh ukhuwah serta simbol komitmen Indonesia untuk terus memperkukuh perpaduan global.
Beliau menyifatkan panggilan telefon Prabowo kepada pemimpin negara ketika sambutan Hari Raya satu jambatan perpaduan yang membawa mesej damai, kerjasama dan harapan kepada dunia Islam,
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial