KUALA LUMPUR, 24 Mac (BERNAMA) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sempena sambutan ulang tahun ke-74 dan menyifatkan pasukan itu sebagai 'wira' yang sentiasa bersedia berbakti tanpa mengharapkan pujian.
Beliau berkata APM telah membuktikan kecemerlangan sebagai pasukan yang sentiasa siapsiaga setiap kali rakyat memerlukan sama ada dalam situasi bencana, kecemasan mahupun saat getir yang tidak dijangka.
“Tidak semua wira berada di hadapan lensa. Ada yang bergerak senyap, hadir ketika diperlukan dan beredar tanpa mengharapkan perhatian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya sempena sambutan ulang tahun tersebut hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau sendiri menyaksikan dedikasi anggota APM turun ke lapangan, membantu tanpa banyak bicara dan melaksanakan amanah dengan penuh disiplin.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga APM atas khidmat dan sumbangan mereka kepada rakyat serta negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga APM atas segala khidmat yang dicurahkan kepada rakyat dan negara. Selamat Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-74. Teruskan berkhidmat dan berbakti untuk negara tercinta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial