WILAYAH - TIMUR > BERITA

PELUMBA TSG JUARA PERINGKAT PERTAMA JELAJAH THAILAND

24/03/2026 08:58 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Pelumba daripada pasukan basikal berstatus benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG), Pierre Barbier, menampilkan aksi cemerlang apabila bergelar juara peringkat pertama Jelajah Thailand (Tour of Thailand) hari ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata pelumba kelahiran Perancis itu berjaya merangkul tempat pertama selepas menewaskan 113 pelumba dari 19 negara dengan catatan masa 2 jam 20 minit dan 32 saat.

"Jelajah peringkat pertama melibatkan perlumbaan dari Nong Kha-Tha Bo-Nong Khai sejauh 108.6 kilometer. Dengan kemenangan tersebut, kami yakin mampu mencapai sasaran dua podium yang ditetapkan pada Jelajah Thailand kali ini.

"Pada jelajah sama tahun lepas, TSG berjaya meraih dua podium, tetapi kedua-duanya di tempat ketiga, selain pasukan menamatkan perlumbaan di kelompok tiga terbaik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tempat kedua peringkat pertama Jelajah Thailand 2026 disandang pelumba daripada pasukan La-Ning Star (LNS) Alexander Saby, manakala di kedudukan ketiga, Oskar Nisu daripada kelab China Arta (CAT).

Nasiruddin berkata TSG yang berpengkalan di Kuala Terengganu masih mempunyai baki lima peringkat yang perlu dilalui sebelum tirai perlumbaan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu dilabuhkan pada 29 Mac ini.

Beliau berkata cabaran untuk peringkat seterusnya lebih sukar kerana membabitkan laluan bergunung-ganang dengan cuaca panas terik.

Selain Barbier, TSG turut mempertaruhkan lima lagi pelumba iaitu Vadim Pronskiy, Adne Van Engelen, Juan Pedro Lozano Navarro, James Gadner dan Muhammad Qayyim Saipul Anuwai yang merupakan satu-satunya bakat tempatan.            

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan