SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes merusuh di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya semasa menunggang motosikal.
Beliau berkata berdasarkan laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun semalam, pengadu mendakwa terdengar bunyi bising di hadapan rumah sebelum keluar dan mendapati bapa saudaranya yang berusia 45 tahun sedang memegang sebilah parang serta dikepung beberapa individu tidak dikenali yang dipercayai cuba menyerangnya.
“Pengadu kemudian bertindak menghubungi pihak polis, namun kesemua suspek yang merupakan penganggur melarikan diri sebelum anggota tiba di tempat kejadian.
“Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan, tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat telah berjaya ditahan dan beberapa barangan kes turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sufian berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan kejadian sekumpulan lelaki dipercayai merusuh di Jalan Waja yang dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial