WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDIA BIMBANG KESAN BERPANJANGAN PERANG ASIA BARAT

24/03/2026 10:16 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 24 Mac (Bernama) -- India memberi amaran bahawa perang yang sedang berlaku di Asia Barat akan memberi kesan berpanjangan kepada ekonomi dan bekalan tenaganya, kata Perdana Menteri Narendra Modi.

"Ia telah mencetuskan krisis tenaga yang ketara di seluruh dunia. Bagi India juga, situasi ini amat membimbangkan. Laluan perdagangan kita terjejas. Bekalan rutin barangan keperluan seperti petrol, diesel, gas, dan baja terganggu," kata Modi di Rajya Sabha, dewan tinggi parlimen pada Selasa.

Menjelaskan kepada penggubal undang-undang mengenai cara kerajaan menangani krisis yang meletus pada 28 Februari lepas susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, beliau berkata India sedang berusaha memastikan kapal yang membawa tenaga dan barangan keperluan selamat memandangkan laluan laut penting di Selat Hormuz terus menghadapi gangguan.

"Namun, jika keadaan global yang dicetuskan oleh perang ini berlarutan untuk jangka masa panjang, kesan serius tidak dapat dielakkan," kata Perdana Menteri India itu.

Banyak kapal India dilaporkan terkandas di laluan laut di sempadan selatan Iran itu.

"Melalui diplomasi, India sedang melakukan usaha berterusan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal India walaupun dalam persekitaran seperti perang ini," kata Modi.

Walaupun Iran tidak menyekat laluan air berkenaan bagi penghantaran global, ia telah mengancam untuk menyasarkan kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.

Modi berkata India kini fokus untuk mendapatkan bekalan tenaga yang mencukupi daripada pelbagai sumber dan setakat ini mengimport minyak serta gas dari 41 buah negara.

"Usaha kami adalah untuk memastikan bekalan minyak dan gas sampai ke India dari mana-mana sumber yang mungkin," katanya.

Kenyataan beliau mencerminkan kebimbangan mendalam di India mengenai impak ekonomi jangka panjang akibat perang berkenaan, termasuk implikasi kewangan terhadap kira-kira 10 juta rakyat India yang menetap di negara-negara Arab Teluk.

Lebih daripada 375,000 rakyat India telah pulang ke tanah air sejak perang bermula, ketika syarikat penerbangan terus berdepan gangguan jadual penerbangan.

Situasi "mengenai perang ini berubah setiap saat" dan rakyat harus bersedia untuk menghadapi setiap cabaran, kata Modi.

"Terdapat kemungkinan besar bahawa kesan buruk daripada perang ini akan berlarutan bagi tempoh yang lama," katanya.

Sementara itu, kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan perniagaan di India mengenai kekurangan tenaga.

Pengusaha restoran melaporkan kesukaran untuk mendapatkan silinder gas petroleum cecair (LPG) yang mencukupi memandangkan kerajaan memberi keutamaan bekalan kepada isi rumah.

Di negeri Gujarat, kekurangan gas menjejaskan pengeluaran tekstil dan seramik, menurut laporan media tempatan.

Pembelian panik petrol turut dilaporkan berlaku di negeri itu pada Isnin.

Persatuan Pengilang Penyemperitan Aluminium India (ALEMA) telah memohon bantuan kerajaan berikutan kekurangan gas yang menjejaskan pengeluaran, lapor agensi berita PTI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan