WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MATFA GALAK PERCUTIAN DALAM NEGARA SUSULAN PENINGKATAN KOS, FAKTOR KESELAMATAN

25/03/2026 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Berikutan peningkatan kos perjalanan antarabangsa disebabkan konflik di Asia Barat, pelancongan domestik menerusi kempen Cuti-Cuti Malaysia dilihat sebagai pilihan terbaik bagi rakyat Malaysia sepanjang cuti persekolahan ini, menurut Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA).

Presidennya Tan Sri Richard Koh berkata kesan konflik berkenaan berpotensi menjejaskan destinasi percutian utama di luar negara, sekali gus menjadikan tarikan tempatan sebagai pilihan lebih selamat dan menarik bagi keluarga.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) turut terjejas akibat konflik di Asia Barat dan ahli MATFA tidak terkecuali.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk keluarga Malaysia memanfaatkan pelepasan cukai sebanyak RM1,500 yang disediakan kerajaan bagi perbelanjaan di taman tema tempatan dan pusat hiburan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cuti penggal pertama persekolahan berlangsung pada 21 hingga 29 Mac, bersempena dengan cuti tambahan sambutan Aidilfitri.

Walaupun berdepan ketidaktentuan global, Koh berkata Malaysia masih berada pada kedudukan  kukuh untuk menarik pelancong tahun ini.

“Berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, pelancong Asia yang sebelum ini memilih destinasi jarak jauh kini beralih ke Asia Tenggara.

“Melancong ke Malaysia sama menyeronokkan seperti ke mana-mana destinasi lain di dunia, selain lebih selamat dan berpatutan,” katanya.

Koh turut berharap Kerajaan MADANI terus menyokong persatuan itu melalui langkah lebih praktikal, termasuk meneliti serta mengurangkan cukai bagi membantu meringankan kos operasi.

“Kami memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan bagi memastikan ahli kekal berdaya saing dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata ahli MATFA menawarkan pelbagai tarikan di seluruh negara, termasuk taman tema utama seperti Sunway Lagoon, Legoland Malaysia, Genting SkyWorlds Theme Park, Splash Out Langkawi, Lost World of Tambun, The TOP Penang dan Escape Theme Park.

Tarikan lain termasuk Berjaya Times Square Theme Park, Desaru Coast Adventure Waterpark, A’Famosa Water Theme Park, i-City Leisure Park, Borneo Samariang Water Park, Wet World Shah Alam, Bangi Wonderland serta Pedas Hot Spring Water Park.

Di Pulau Pinang, The TOP Penang menawarkan kadar kemasukan khas RM10 bagi setiap tarikan sempena sambutan ulang tahun yang ke-10.

Bagi meningkatkan pengalaman pengunjung, dua tarikan baharu iaitu Ocean Explorer dan Discovery Motion Theatre turut diperkenalkan.

Untuk keluarga yang mempunyai anak kecil, Koh mencadangkan taman permainan tertutup seperti Jungle Gym yang mempunyai beberapa cawangan, kebanyakannya terletak di pusat beli-belah di seluruh negara.

“Malaysia merupakan satu daripada negara paling selamat di dunia, dengan landskap yang pelbagai serta kekayaan budaya, menjadikannya destinasi ideal bagi mereka yang ingin menikmati keunikan Asia Tenggara.

“Anda tidak perlu berbelanja besar atau pergi jauh untuk meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang kerana semuanya tersedia di dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan