WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGUATKUASAAN IMIGRESEN BERASASKAN RISIKAN, BUKAN FAKTOR MUSIM - ZAKARIA

25/03/2026 01:46 PM

PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berasaskan risikan dan keperluan operasi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata penguatkuasaan tidak tertakluk kepada musim tertentu memandangkan pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Beliau berkata dari sudut taktikal, tempoh tertentu termasuk musim perayaan boleh menyokong keberkesanan pengesanan berdasarkan pola pergerakan serta tumpuan individu di lokasi tertentu.

“Bagi tempoh 20 hingga 24 Mac, JIM melaksanakan 45 pemeriksaan dan pemantauan imigresen (Ops Pantau) di seluruh negara melibatkan 3,826 pemeriksaan ke atas warga asing di lokasi dikenal pasti bagi memastikan status serta dokumen perjalanan mereka adalah sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria menegaskan pelaksanaan itu dibuat secara terancang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan teratur, terkawal dan berintegriti.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa di lapangan sentiasa diingatkan untuk mematuhi disiplin dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat dalam setiap pelaksanaan tugas.

Zakaria berkata JIM melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan dan berhemah pada setiap masa termasuk musim perayaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus terpelihara.

Beliau berkata JIM turut mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemeriksaan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan profesional.

“Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam,” katanya.

Zakaria berkata JIM komited untuk terus mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan