KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pencapaian Malaysia melonjak empat anak tangga untuk menduduki tempat ke-13 dalam Indeks Keamanan Global 2025 adalah hasil penurunan jenayah indeks sebanyak 6.4 peratus dan peningkatan 9,000 operasi keselamatan di sempadan dan seluruh negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun terdapat beberapa insiden serta kejadian yang mencetuskan kejutan sepanjang tempoh kajian Mac 2025 hingga Mac 2026, namun tahap keselamatan di bumi bertuah ini pada umumnya masih dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.
Mohd Khalid berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Indeks Keamanan Global 2025 menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-13 negara paling aman di dunia dan kedua di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, Mohd Khalid berkata PDRM kini berhadapan cabaran untuk memastikan pasukan itu kekal relevan sebagai agensi penguat kuasa terulung negara demi memenuhi aspirasi kerajaan dan kehendak masyarakat.
Mengambil contoh serangan di Balai Polis Pinggiran Subang, Selangor pada 2017 dan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2024 yang mengorbankan anggota polis, beliau berkata kejadian itu menunjukkan masih wujud pihak yang berani mencabar undang-undang dan autoriti negara selain disifatkan sebagai penghinaan terhadap institusi penguatkuasaan.
Justeru, beliau menekankan keperluan penambahbaikan infrastruktur di premis kritikal serta pindaan undang-undang sedia ada agar lebih progresif selari dengan keperluan semasa.
Mohd Khalid juga merakamkan penghargaan atas komitmen dan tindakan nyata kerajaan yang sentiasa menyokong usaha serta kebajikan warga PDRM termasuk peruntukan keseluruhan RM12.063 bilion kepada PDRM pada tahun ini dan RM200 juta untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan dan kelengkapan teknologi maklumat di balai polis serta kuarters kediaman di seluruh negara.
Hari Polis dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” disambut pada 25 Mac setiap tahun di Malaysia, bertujuan memperingati jasa, pengorbanan dan dedikasi warga PDRM dalam mengekalkan keselamatan negara serta ketenteraman awam.
Ia juga merupakan tarikh bersejarah penubuhan pasukan polis pada 25 Mac 1807 di Pulau Pinang susulan Piagam Keadilan (Charter of Justice).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial