WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA TEGASKAN SOKONGAN TERHADAP KEDAULATAN QATAR - ANWAR

25/03/2026 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Malaysia secara tegas menyatakan sokongan terhadap kedaulatan Qatar dan mengecam keras serangan yang menyasarkan kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Ras Laffan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Anwar berkata Malaysia menyifatkan infrastruktur tenaga berkenaan sebagai kritikal kepada ekonomi global.

Perdana Menteri berkata beliau dan rakan sejawatnya itu turut sependapat bahawa semua pihak perlu meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog serta diplomasi demi kestabilan serantau.

“Moga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata dalam perbualan berkenaan beliau dan Sheikh Mohammed turut bertukar-tukar ucapan sempena Aidilfitri serta menzahirkan keprihatinan terhadap situasi keselamatan di Asia Barat yang kian meruncing.

Beliau turut merakamkan takziah atas tragedi nahas helikopter yang meragut nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Turkiye dan menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa. 

Ras Laffan ialah terminal eksport LNG terbesar di dunia, dan bertanggungjawab untuk kira-kira 20 peratus bekalan global.

Tahun lepas, Qatar mengeksport 81 juta tan LNG, dengan kira-kira 90 peratus daripadanya untuk pasaran Asia.

Serangan ke atas kemudahan berkenaan pada 18 Mac lepas menyebabkan gangguan kira-kira 5.8 juta tan bekalan LNG bagi bulan Mac.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan