WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENTERI LUAR MALAYSIA, PAKISTAN GESA KETEGANGAN DI ASIA BARAT DIREDAKAN

26/03/2026 11:14 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan Mohammad Ishaq Dar menekankan keperluan untuk ketegangan di Asia Barat diredakan menerusi dialog dan diplomasi.

Menurut Kementerian Luar Pakistan dalam hantaran di X, Dar dan Mohamad membincangkan isu kepentingan bersama menerusi perbualan telefon.

”Kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan terkini serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama dan menekankan kepentingan mengurangkan konflik, dialog dan diplomasi untuk menangani cabaran yang sedang berlaku," katanya.

Perbualan itu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran Pakistan, yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dan konstruktif, untuk menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ketika situasi ketegangan di rantau itu semakin meruncing.

Dalam video yang disiarkan di Facebook pada Rabu, Anwar memuji rakan sejawatannya Shehbaz Sharif, serta pemimpin negara sahabat lain, termasuk Oman, kerana mengambil langkah untuk memudahkan diplomasi.

“Hubungan Pakistan dengan pihak berkaitan dan kedudukannya sebagai suara yang boleh dipercayai di dunia Islam meletakkannya dalam kedudukan yang kukuh untuk membantu mewujudkan keadaan bagi rundingan yang bermakna,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan