WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENANG FC MASIH TUNGGU MAKLUM BALAS MFL ISU PEMAIN GANTIAN

26/03/2026 03:54 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Penang FC masih menunggu maklum balas daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan dakwaan Kuching City FC menurunkan individu tidak disenaraikan sebagai pemain gantian ketika perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 15 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata pihaknya telah membuat satu aduan rasmi kepada badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu dan berharap keputusan konkrit dapat dibuat bagi memberikan keadilan kepada skuad Harimau Kumbang.

“Code of Conduct dengan jelas menyatakan mana-mana pasukan yang menurunkan pemain tidak layak sama ada tidak berdaftar atau tidak memenuhi kelayakan atas sebab lain secara automatik dianggap melanggar peraturan.

“Perkara ini agak jelas kerana berdasarkan senarai permulaan pemain yang telah ditandatangani Pesuruhjaya Perlawanan, pemain yang diturunkan Kuching City FC tidak terdapat dalam senarai rasmi tersebut,” katanya pada sidang media pemeteraian kerjasama sulung antara Penang FC dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi Musim 2026 di Komtar, hari ini.

Kuching City FC telah menurunkan Scott Woods dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan itu menewaskan Penang FC 1-0. 

Susulan itu, Penang FC pada 17 Mac memaklumkan telah menghantar aduan rasmi kepada MFL selepas tular dalam kalangan penyokong di media sosial berhubung penggunaan pemain tidak sah dalam perlawanan itu.

Pada 18 Mac pula, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City Iswandi Ali Hassan menjelaskan bahawa senarai 20 pemain yang dihantar pada hari perlawanan sepatutnya menyenaraikan Scott Woods, manakala Danial Amier tidak termasuk namun berlaku ralat teknikal hingga nama Scott Woods tercicir dan digantikan dengan Danial Amier, yang ketika itu berada di Kuching.

Terdahulu, Gooi yang juga Pengerusi Penang FC mengumumkan kerjasama sulung dengan FAP bagi pengurusan dan pembangunan pasukan Piala Belia (bawah 18) dan Piala Presiden (bawah 20) bagi Musim 2026 dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak di Pulau Pinang.

Di bawah inisiatif tersebut, beliau berkata Penang FC akan menyediakan peruntukan bajet keseluruhan manakala FAP bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan operasi kedua-dua pasukan.

“FAP akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti, membangun serta mengetengahkan bakat tempatan yang berpotensi untuk diserap ke dalam pasukan utama Penang FC pada masa depan,” katanya.

Gooi berkata sesi pemilihan pemain akan diadakan selama tiga hari pada esok hingga Ahad bermula 4 petang di Padang A dan A1 Universiti Sains Malaysia (USM), justeru, beliau mengalu-alukan pemain tempatan untuk hadir menunjukkan bakat masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian tiket percuma sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Penang FC berusia 60 tahun ke atas dan yang lahir pada April untuk menyaksikan perlawanan akhir pusingan pertama Piala Cabaran antara Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 4 April dengan hanya menunjukkan kad pengenalan di pintu masuk stadium bagi pengesahan.

Pemeteraian kerjasama itu ditandatangani Pengurus Besar Penang FC Jeffrey Chew dan Presiden FAP Mohd Azizudin Mohd Shariff dengan disaksikan Gooi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan