WILAYAH - TIMUR > BERITA

KPDN KELANTAN TAHAN WANITA THAILAND CUBA SELUDUP MINYAK MASAK

31/03/2026 02:49 PM

KOTA BHARU, 31 Mac (Bernama) -- Taktik licik seorang wanita warga Thailand menyeludup minyak masak bersubsidi terbongkar dalam Ops Tiris di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)  Rantau Panjang, semalam.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Aswadi Jaafar berkata wanita berusia 40 tahun itu cuba menyembunyikan sebanyak 51 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di ruang tayar gantian pada bahagian bonet kereta jenis Mazda 2 berpendaftaran Thailand yang dipandunya. 

"Rampasan dilakukan anggota KPDN Cawangan Pasir Mas, kira-kira 2.15 petang itu berjaya menemukan kesemua minyak masak yang disorok secara tersusun di bawah pelapik ruang simpanan tayar di bahagian bonet kenderaan, dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa ketika pemeriksaan di pintu sempadan.

"Wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala pihaknya turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bekalan minyak masak bersubsidi yang diperoleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM15,127.50 dan pihaknya akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan serta penyalahgunaan subsidi termasuk penyeludupan bahan api ke negara jiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan