WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN DIGESA PERCEPAT PELAKSANAAN AKTA PENDANAAN POLITIK

01/04/2026 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan digesa mempercepat pewartaan dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bagi memperkukuh integriti serta menangani rasuah yang semakin kompleks.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia Jais Abdul Karim berkata langkah itu penting memandangkan isu rasuah kini bukan lagi bersifat konvensional, sebaliknya semakin sukar dikesan berikutan perkembangan teknologi dan dunia digital.

"Rasuah kini semakin kompleks, saya boleh katakan ia ibarat kanser tahap empat. Kalau dalam bidang perubatan cakap ia tiada harapan, namun saya tetap menaruh harapan supaya masalah ini dapat ditangani antaranya menerusi pelaksanaan akta ini," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk “Undang-Undang Baharu: Benteng Integriti Negara” terbitan Bernama TV malam ini.

Turut menjadi tetamu program itu ialah Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Young Syefura Othman.

Jais berkata undang-undang berkaitan pendanaan politik perlu disegerakan memandangkan banyak negara lain telah melaksanakannya dengan hasil positif.

Beliau berkata pelaksanaan akta itu juga wajar dipercepat kerana merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan.

“Ini adalah manifesto kerajaan, maka inilah masanya untuk dilaksanakan,” katanya sambil menggesa Ahli Parlimen menyokong usaha berkenaan demi kepentingan rakyat dan negara.

Sementara itu, Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata kerajaan komited mewujudkan undang-undang baharu berkaitan rasuah dan integriti selaras dengan agenda reformasi institusi.

"Saya juga percaya, akan ada penggiliran rang undang-undang berkaitan pendanaan politik ini (dibentangkan) di Parlimen nanti," katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyuarakan hasrat agar UMNO menjadi pelopor dalam memastikan akta itu diwujudkan bagi melindungi parti serta demokrasi di Malaysia.

Menerusi akta katanya, setiap sumbangan kewangan kepada parti akan direkodkan secara jelas, didedahkan secara telus serta identiti penderma dapat dikenal pasti sekali gus mengelakkan sebarang fitnah dan tohmahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan