WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAG PERTIMBANG GUNA DANA KHAZANAH PADA 2026 BAGI SOKONG PENGEMBANGAN KUMPULAN PESAWAT

02/04/2026 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pembiayaan pemegang saham daripada Khazanah Nasional Bhd tahun ini bagi menyokong komitmen pengembangan dan penyelenggaraan kumpulan pesawatnya walaupun terdapat peningkatan ketara  aliran tunai operasi.

Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Boo Hui Yee berkata kumpulan itu mencatatkan aliran tunai operasi sebanyak RM1.9 bilion pada 2025, peningkatan ketara daripada RM401 juta pada 2024.

Menurutnya kumpulan itu masih mempunyai lebihan RM1.77 bilion daripada sejumlah RM3.6 bilion yang diperuntukkan oleh Khazanah sejak 2019.

Baki tunai kumpulan itu berjumlah RM1.53 bilion bagi tahun kewangan 2025.

Beliau bagaimanapun berkata kumpulan penerbangan itu masih bergantung kepada dana pasca penstrukturan semula yang disediakan oleh Khazanah untuk memenuhi keperluan perbelanjaan modalnya, terutama pembayaran pra-penghantaran (PDP) untuk pesawat masuk dan keperluan penyelenggaraan berterusan.

“Bagi 2025, kami telah menggunakan sebanyak RM500 juta terutama untuk memenuhi komitmen perbelanjaan modal kami.

“Pada tahun ini, memandangkan lebih banyak pesawat akan tiba dan banyak bayaran PDP yang perlu dibuat, kami dijangka menggunakan sebahagian dana daripada Khazanah,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat perkembangan terkini prestasi tahunan MAG hari ini.

Beliau berkata MAG menjangka menerima penghantaran 10 lagi pesawat tahun ini selepas menerima 24 pesawat pada 2025 sebagai antara program pembaharuan kumpulan pesawatnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan