WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTUMBUHAN EKONOMI PACU TRANSISI TENAGA ASIA, TUMPUAN KEPADA INFRASTRUKTUR GRID - GENTARI

02/04/2026 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Transisi tenaga di Asia terus menunjukkan momentum yang mampan, dengan peralihan ke arah tenaga boleh baharu kini semakin dipacu oleh keperluan pertumbuhan ekonomi, bukan semata-mata pertimbangan alam sekitar, menurut syarikat tenaga bersih global, Gentari.

Ketua Pegawai Strategi dan Portfolio, M Huzaini Ghazali, berkata peralihan itu telah mula memperlihatkan peningkatan momentum sebelum perkembangan global semasa dan terus bergerak secara stabil.

Beliau berkata kepelbagaian kedudukan ekonomi serta trajektori pertumbuhan negara-negara di Asia memerlukan pelbagai sumber tenaga, dengan proses transisi banyak dipengaruhi oleh keperluan pembangunan setiap negara.

“Terdapat negara-negara di Asia yang berada pada tahap pembangunan dan profil pertumbuhan yang berbeza, justeru memerlukan pelbagai bentuk sumber tenaga.

“Sekurang-kurangnya dari sudut penjanaan, tenaga boleh baharu terbukti amat kompetitif, malah merupakan pilihan yang lebih murah,” katanya ketika sesi panel bertajuk “Grid and Infrastructure: The Backbone of Energy Transition” pada hari terakhir Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Huzaini berkata kelebihan kos itu hanyalah sebahagian daripada persamaan, memandangkan peluasan penggunaan tenaga boleh baharu amat bergantung kepada infrastruktur grid.

Menurutnya, walaupun kos penjanaan tenaga boleh baharu adalah lebih rendah, sumber berkenaan tidak menawarkan tahap konsistensi yang sama seperti sumber tradisional, termasuk gas dan arang batu.

“Grid memainkan peranan penting untuk memastikan kita dapat mengintegrasikan sumber tenaga baharu ini secara stabil.

“Setiap pengguna menjangkakan kipas atau pendingin hawa dapat dihidupkan hanya dengan satu suis,” katanya.

Bagi memenuhi jangkaan tersebut pada skala lebih besar, beliau berkata pembangunan grid perlu dilihat melangkaui sempadan sesebuah negara, dengan menjurus kepada sistem serantau yang lebih menyeluruh bagi menyokong peningkatan bahagian tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga Asia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan