KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa cadangan mengembalikan nama sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gamuda Cove kepada nama asal iaitu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ke mesyuarat Kabinet.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata cadangan tersebut, yang dikemukakan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, tidak membabitkan isu soal perkauman tetapi kerana itu adalah nama sekolah berkenaan yang diluluskan pada 2017.
"Ini bukan membabitkan soal perkauman, ini soal di mana ketika itu nama itu telah dipersetujui. Insya-Allah, saya sendiri akan membawanya ke Kabinet," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN di sini hari ini.
Terdahulu, Wee dalam ucapannya berkata nama pengasas MCA iaitu Tun Omar telah diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Okt 2017 namun digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Dis lepas.
Beliau berkata Tun Omar adalah tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan selain antara Menteri dalam Kabinet pertama.
"Tun Omar itu besar jasanya kepada negara kita... atas nama keadilan, kita patut berikan dia keadilan sejagat, takkan kita mahu tarik balik?.. dia sudah meninggal dunia pada 2010... untuk mengenang jasa veteran, kita jangan lupa pada sejarah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.
Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial