GENERAL > NEWS

TAICHUNG PONKAN BACK IN MALAYSIA, USHER IN PROPERITY AND FESTIVE CHEER

15/01/2026 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Dengan ketibaan musim perayaan Tahun Baharu Cina, acara promosi Taichung Ponkan di Malaysia 2026 kembali diadakan hari ini, menampilkan buah limau ponkan terkenal dari Taichung, Taiwan, yang diminati kerana isinya yang manis dan berjus serta menjadi hidangan wajib semasa perayaan.

Taichung Freshest dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa acara tersebut mendapat sokongan Kementerian Pertanian Taiwan dan Biro Pertanian Kerajaan Bandar Raya Taichung, serta dianjurkan Persatuan Peladang Daerah Shigang, Bandar Raya Taichung.

Proram kali ini sekali lagi menampilkan kerjasama merentas industri bersama rangkaian bakeri terkenal Malaysia RT Pastry, bagi melancarkan Kek Keju Ponkan edisi terhad yang menggabungkan buah sitrus Taiwan dengan kepakaran pembuat roti tempatan, sekali gus menawarkan cara moden kepada pengguna untuk menikmati ponkan Taichung sepanjang musim perayaan.

“Buah limau ponkan Taichung mempunyai kulit berwarna jingga keemasan yang menarik, rasa manis dan masam yang seimbang serta nilai pemakanan yang tinggi, menjadikannya pilihan kegemaran di pasaran seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Tahun ini, destinasi eksport merangkumi Malaysia, Singapura, Brunei dan Kanada, dengan penghantaran pertama kira-kira 15 tan metrik telah pun tiba di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Biro Pertanian Kerajaan Bandar Raya Taichung memaklumkan bahawa taburan hujan yang mencukupi, iklim yang menggalakkan serta keadaan tanah yang sesuai menjadikan wilayah itu baik untuk penanaman buah sitrus, dengan ladang ponkan di Taichung meliputi kawasan seluas 1,388 hektar dan pengeluaran tahunan melebihi 20,000 tan metrik, sekali gus menduduki tempat kedua tertinggi pada peringkat nasional.

“Bagi memastikan keselamatan makanan, biro ini sejak sekian lama membimbing petani untuk memperoleh pensijilan kebolehkesanan pengeluaran dan terus memperkukuh kualiti serta nilai jenama melalui pertandingan penilaian ponkan yang diadakan setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Ekonomi di Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang berkata walaupun berhadapan cabaran cuaca pada 2025 termasuk suhu rendah dan taufan, buah limau ponkan Taichung berjaya mengekalkan kualiti serta bekalan yang stabil.

Beliau berkata permintaan terhadap ponkan semasa tempoh Tahun Baharu Cina di Malaysia lazimnya melebihi bekalan, mencerminkan keyakinan pengguna yang kukuh terhadap produk pertanian Taiwan, selain Taichung giat memperluas pasaran buah tersebut melangkaui jualan segar melalui strategi pemasaran yang dipelbagaikan.

“Kerjasama baharu dengan RT Pastry memperkenalkan kek keju ponkan sebagai tarikan bermusim, khususnya kepada golongan pengguna muda dan keluarga, selain mempamerkan penggunaan inovatif buah ini dalam pencuci mulut,” katanya.

Bagi meningkatkan pengiktirafan jenama dan memastikan keyakinan pengguna, semua kotak hadiah ponkan Taichung menampilkan tanda dagangan rasmi “Produk Pertanian Premium Biro Pertanian Kerajaan Bandar Raya Taichung” dan dipasarkan sebagai hadiah perayaan premium di seluruh negara menerusi rangkaian Aeon, Star Grocer dan Whole Foods di bawah Khaishen Trading Sdn. Bhd.

Majlis pelancaran hari ini turut dihadiri Pengarah Pusat Perdagangan Taiwan Kuala Lumpur Sylvia Kao; Pengarah Persatuan Peladang Daerah Shigang, Bandar Raya Taichung Liao Ting-Chien dan Fu Yu Chin; Presiden Kebangsaan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Taiwan di Malaysia Tsai Hsin Tien; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Khaishen Trading Sdn Bhd Jeffrey Tan; dan CEO RT Pastry Lu Chun Neng, selain wakil pengedar buah-buahan tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy