PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) - - Kertas perbincangan mengenai Pembiayaan Pihak Ketiga yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia telah diterima oleh Sekretariat Komanwel dan disenaraikan sebagai agenda rasmi pada Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) 2026, sekali gus menandakan kali pertama negara mencapai pencapaian sedemikian di peringkat Komanwel.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), kertas tersebut dibentangkan semasa mesyuarat yang berlangsung di Nadi, Fiji, semalam dan hari ini.
“Malaysia menekankan kepentingan rangka kerja seimbang yang menyokong akses kepada keadilan sambil memastikan peraturan yang jelas dan telus bagi menangani konflik kepentingan serta mengekalkan integriti proses penyelesaian pertikaian,” menurut kenyataan itu hari ini.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan menteri undang-undang, peguam negara dan pegawai kanan undang-undang Komanwel untuk membincangkan cabaran undang-undang dan tadbir urus semasa.
Bertemakan “Anchoring Justice in Changing Tides: Strengthening the Rule of Law for a Resilient Future", CLMM 2026 menekankan keperluan sistem perundangan yang teguh dan berdaya tahan dalam menangani perubahan teknologi, risiko rentas sempadan serta jangkaan masyarakat yang sentiasa berkembang, sambil menegakkan nilai demokratik dan hak asasi manusia.
Malaysia diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
BHEUU memaklumkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) turut berkongsi perkembangan terkini mengenai reformasi undang-undang Malaysia, termasuk pindaan kepada Akta Timbang Tara 2005, Kod Amalan Pembiayaan Pihak Ketiga 2026, serta rangka kerja pendedahan di bawah Peraturan AIAC 2026 yang secara keseluruhan mempromosikan ketelusan dan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab.
Selain itu, keutamaan reformasi di bawah Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 yang bertujuan mengukuhkan akauntabiliti, memperluas akses kepada keadilan dan meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang, turut diketengahkan dalam mesyuarat tersebut.
Reformasi yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun, penubuhan Ombudsman nasional serta Akta Kebebasan Maklumat yang akan datang.
Malaysia juga menyumbang kepada perbincangan mengenai tindak balas undang-undang terhadap maklumat salah dan disinformasi, selain penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab dalam sistem keadilan.
“Malaysia menantikan kerjasama berterusan dengan rakan Komanwel dalam memperkasa penyelesaian undang-undang yang praktikal dan berpandangan jauh,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.
Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial