BUSINESS

MALAYSIA GIAT RUNDING TARIF TIMBAL BALIK DENGAN AS, SOKONG INDUSTRI TEMPATAN

05/05/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang giat melaksanakan rundingan tarif timbal balik bersama Amerika Syarikat (AS) sambil terus memberi sokongan padu kepada industri tempatan dan meneroka pasaran eksport baharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tarif AS merupakan satu cabaran yang besar namun Malaysia tidak akan berdiam diri dengan Kerajaan MADANI bertegas mempertahankan ekonomi negara.

“Kerajaan MADANI sedang berjuang untuk rakyat dan industri. Saya beri jaminan, Kerajaan MADANI komited untuk melindungi ekonomi kita,” katanya menerusi platform media sosial X, hari ini.

Pada hari ini, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat telah diadakan berhubung isu tarif timbal balik AS.

Melalui sidang media selepas mesyuarat khas di Parlimen, Tengku Zafrul berkata rundingan tarif akan bermula esok dengan sifar tarif ke atas Malaysia menjadi objektif utama.

Terdahulu pada 24 April, Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Pertemuan berkenaan menekankan mengenai kepentingan mengadakan perbincangan secara berterusan dan kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh AS.

-- BERNAMA


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy