SPORTS > NEWS

PARA SUKMA: KEJAYAAN ADIK DI PARIS CETUS SEMANGAT ABANG TAMPIL AKSI PECAH REKOD

24/09/2024 08:30 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Diilhamkan oleh rekod dunia yang dicatatkan oleh adiknya, Bonnie Bunyau Gustin di Paralimpik Paris 2024, atlet powerlifting Sarawak Bryan Junency memperagakan prestasi luar biasa di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini hari ini.

Bryan, 27, menguasai acara dengan rekod kebangsaan baharu serta memenangi dua pingat emas dalam kategori lelaki bawah 88 kilogram (kg) di Kompleks Belia dan Sukan.

Beliau memulakan aksi dengan angkatan 180kg pada percubaan pertamanya, meninggalkan pesaingnya jauh di belakang. Bryan kemudian menaikkan angkatan kepada 185kg dan 191kg pada percubaan kedua dan ketiga.

Memiliki  penuh keyakinan, Bryan cuba menambah beban kepada 201kg. Malangnya, percubaan itu gagal.

Namun, angkatan 191kg sudah cukup untuk memadamkan rekod kebangsaan dan rekod Para SUKMA 190kg yang dicatatkan oleh Nicodemus Manggoi Moses pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, sekali gus menghadiahkan Bryan emas bagi angkatan terbaik.

Bryan juga meraih emas bagi jumlah angkatan keseluruhan dengan catatan 556kg. Chee Der Min dari Perak memenangi dua pingat perak bagi angkatan terbaik 123kg dan jumlah keseluruhan 365kg, manakala Mohd Nazrisa’ Arizal Mat Saad (105kg, 307kg) dari Selangor membawa pulang dua pingat gangsa.

“Saya mula yakin selepas percubaan kedua, namun gagal pada angkatan 201kg kerana menepis palang. Rekod peribadi saya adalah 186kg tetapi saya dua kali berjaya mengangkat lebih 200kg semasa latihan,” kata Bryan kepada pemberita selepas acara itu.

“Saya gembira dengan pencapaian Bonnie di pentas antarabangsa...ini menjadi inspirasi untuk diri saya hari ini,”katanya sambil menambah bahawa beliau berharap ntuk memenangi emas di Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.

Di samping itu, Bryan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada adik bongsunya berusia 15 tahun, Brownson John yang bakal bersaing dalam kategori bawah 80kg esok.

Untuk rekod, pada Paralimpik Paris bulan lalu, Bonnie mempertahankan pingat emas dalam kategori lelaki 72kg dengan angkatan 232kg, memecahkan rekod dunia terdahulu 231kg yang diciptanya pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2023 di Dubai.

Beliau juga mencatatkan rekod Paralimpik baharu, mengatasi angkatannya yang terdahulu 228kg di edisi Tokyo 2020.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan dan Sarawak, Jamil Adam optimis bahawa Bryan berpotensi untuk layak  diri ke Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Kita mahu mempersiapkan Bryan untuk LA28 tetapi perjalanan masih jauh. Dia perlu menunjukkan prestasi dalam Kejohanan Dunia dan Sukan Para ASEAN. Kami akan lakukan yang terbaik untuk membawanya ke tahap tertinggi,” kata Jamil.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah menegaskan bahawa Sarawak akan terus mengekalkan statusnya sebagai kuasa besar dalam sukan powerlifting di Malaysia.

“Jurulatih (Jamil) sudah mengenal pasti bakat. Langkah seterusnya, kita akan melaksanakan program pembangunan untuk melahirkan lebih ramai atlet powerlifiting seperti Bonnie,” katanya selepas menyampaikan pingat kepada para pemenang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy