AM

JABATAN PENJARA TUBUH LEMBAGA SIASATAN KENAL PASTI PUNCA KES BANDUAN LARI

20/09/2024 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian seorang banduan reman melarikan diri dari Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini jabatan itu memaklumkan jabatan itu tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelemahan pematuhan kepada prosedur semasa melaksanakan tugas.

“Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia meminta kerjasama daripada orang awam sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai individu yang mencurigakan untuk segera menghubungi Penjara Sungai Buloh di talian 03-61843333 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222 dan jabatan memohon maaf atas segala kesulitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan pencarian dan hingga kini usaha mencari banduan itu sedang dipergiatkan serta diperluaskan ke kawasan lain.

Semalam, Bernama melaporkan seorang banduan Penjara Sungai Buloh yang menerima rawatan di hospital berkenaan melarikan diri pada 3.56 petang.

Menurut laporan itu, polis menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang banduan tiada di katilnya dan disyaki melarikan diri.

– BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan