JENAYAH & MAHKAMAH

RAYUAN ZURAIDA TERHADAP PERINTAH BAYAR RM10 JUTA KEPADA PKR DIJADUALKAN SEMULA 23 SEPT

20/09/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pendengaran rayuan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan beliau membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu, dijadualkan semula pada 23 Sept.

Peguam PKR Navpreet Singh yang mengesahkan perkara terbabit melalui WhatsApp berkata prosiding berkenaan akan dijalankan di mahkamah terbuka pada tarikh itu, pukul 9 pagi.

Pada 23 Jun tahun lepas, Hakim Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan saman parti politik itu selepas mendapati bon itu sah dan kontrak yang mengikat, turut mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang terbabit membayar kos guaman RM50,000.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 bagi pihak parti untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Susulan itu, pada 8 Julai tahun lepas, Zuraida memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Saifuddin mendakwa Zuraida telah menandatangani bon sebanyak RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.

Terma itu antara lain, Zuraida bersetuju untuk membayar parti itu sejumlah RM10 juta tidak lewat daripada tujuh hari selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR dan kemudian meletak jawatan daripada parti atau menyertai mana-mana parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida, dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam keputusannya, Hakim Akhtar berkata dakwaan Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu di bawah paksaan adalah tidak berasas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan