JENAYAH & MAHKAMAH

OP GLOBAL DEDAH ANOMALI: INI KRONOLOGI KES GISBH

21/09/2024 12:33 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pada 11 Sept lepas polis melaksanakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Susulan serbuan itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan. 

Berikut kronologi kes itu setakat hari ini : 

 

16 Ogos 

Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISBH. 

 

6 Sept

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

 

11 Sept

Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan berhubung operasi pada awal pagi itu.

Beliau mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat. 

Baki 392 menjalani ujian saringan kesihatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

 

12 Sept

Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH. Tertuduh mengaku tidak bersalah. 

 

13 Sept

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.

Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.

 

14 Sept

Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.

Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.

 

15 Sept

Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.

 

17 Sept 

Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISBH dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.

Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

 

18 Sept 

Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.

 

19 Sept

19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari bagi membantu siasatan. 

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.

 

20 Sept

Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB.

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan