AM

JELAJAH SISWA HAWANA PLATFORM TERBAIK TINGKAT KEFAHAMAN PELAJAR TERHADAP REALITI DUNIA KOMUNIKASI

04/11/2024 04:18 PM

BANGI, 4 Nov (Bernama) -- Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 Bersama Siswa disifatkan platform terbaik untuk golongan pelajar meningkatkan kefahaman terhadap realiti semasa dunia media dan komunikasi terutama dalam mendepani era digital.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor berkata ia termasuklah pendedahan berkaitan amalan serta dasar semasa yang berkaitan dunia kewartawanan.

“Terima kasih Kementerian Komunikasi dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), program ini beri gambaran jelas mengenai teknologi seperti AI (Kecerdasan Buatan) dan platform dalam talian yang menambah warna-warni industri media ketika ini,” katanya semasa berucap pada program jelajah itu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hawana 2024.

Hadir sama adalah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain serta Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak.

Sementara itu Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa memberi peluang kepada para pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran luar bilik darjah secara langsung bersama pemain industri sendiri.

Sementara itu Ketua Jabatan Komunikasi AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (AHAS KIRKHS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Tengku Siti Aisha Tengku Azman berkata pihaknya berbesar hati diundang menyertai siri jelajah kali ini.

“Kami betul-betul manfaatkan pengisian hari ini yang menyentuh aspek berita palsu, semakan fakta, MoJo (Mobile Journalism) kerana ia berkait rapat dengan pengajian pelajar kami yang antaranya hadir hari ini dalam skop pengajian kewartawanan radio, televisyen dan portal dalam talian,” katanya.

Program hari ini juga menyaksikan UKM, UPM, UIAM bersama Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sumbangan set komputer dan televisyen bernilai RM20,000 sumbangan Kementerian Komunikasi disampaikan oleh Bernama selaku Sekretariat Hawana.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Prof Madya Dr Mazura Mastura Muhammad ketika ditemui selepas sesi penyampaian sumbangan itu berkata kelengkapan berkenaan akan digunakan di makmal penciptaan kandungan di fakulti itu sekali gus membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa Zon Tengah di UKM hari ini merupakan penganjuran kali ketiga selepas Sarawak pada 25 Mei dan Sabah (25 Okt), dan akan diteruskan di Melaka (Zon Selatan), Terengganu (Zon Pantai Timur) dan Pulau Pinang (Zon Utara).

HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan