AM

SPRM KOMITED CAPAI SASARAN KE-25 CPI DENGAN KERJASAMA SEMUA PIHAK

07/11/2024 05:45 PM

MANJUNG, 7 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin Malaysia mampu mencapai sasaran kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 jika semua pihak turut menggembleng tenaga bersama SPRM. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata walaupun tidak mudah, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai jika semua pihak bersatu hati untuk memperbaiki skor dan kedudukan negara dalam CPI. 

Beliau berkata usaha untuk membanteras jenayah rasuah dan meningkatkan budaya integriti tidak hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan atau pendidikan SPRM semata-mata kerana ia tanggungjawab bersama rakyat Malaysia.

"Tidak boleh jika kita hanya harapkan SPRM bekerja secara sendiri dan pada masa sama masyarakat mengimpikan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah. 

"Malaysia hanya boleh mengurangkan kadar rasuahnya sekiranya semua pihak berkepentingan sama-sama berfikir, berusaha, bertindak dan terlibat secara langsung dalam usaha membanteras rasuah, kerjasama inilah yang paling mustahak," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SPRM Cawangan Manjung di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Junipah Wandi dan Pengarah SPRM Negeri Perak Datuk Ahmad Sabri Mohamed. 

CPI Malaysia pada 2023 naik tiga mata kepada 50 mata berbanding 47 mata pada 2022 dan meletakkan Malaysia di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga ke-61 pada 2022.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan skor 83 dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta bagi 2025 ketimbang RM338 juta tahun ini. 

Sementara itu, Ahmad Sabri berkata pengurusan tertinggi SPRM telah bersetuju untuk memindahkan pejabat SPRM Cawangan Teluk Intan ke Manjung pada 2023 mengambil kira kedudukan strategik daerah itu yang mengalami pembangunan ekonomi yang pesat.

"Premis baharu SPRM Cawangan Manjung terletak di Jalan Datuk Ahmad Yunus dekat Sitiawan sebelum ini merupakan Perpustakaan Awam Sitiawan sejak 1990 dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM Perak pada 5 Jun lalu. 

"Pejabat itu dilengkapi bilik ketua cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan serta bilik gerakan operasi siasatan pejabat cawangan di Manjung akan melaksanakan fungsinya bukan sahaja di daerah itu tetapi juga meliputi daerah Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak," katanya. 

Menurutnya bagi tempoh 2020 hingga 2023, SPRM Perak menerima 63 maklumat dan aduan berkaitan rasuah di Manjung iaitu lebih kurang 16 maklumat setahun. 

"Daripada 2020 sehingga 31 Okt 2024, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka, 10 daripadanya pada tahun ini selain 11 kes telah dibawa ke mahkamah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan