EKONOMI

NICE JANGKA LOJI LARUT RESAP SOKOR UTARA LONJAK PEROLEHAN PADA SUKU KETIGA 2025

15/11/2024 02:51 PM

Daripada Engku Shariful Azni Tengku Ab Latif

TANAH MERAH, 15 Nov (Bernama) -- Niche Capital Emas Holdings Bhd (Nice) berjaya mengoperasikan loji larut resap di Lombong Emas Sokor Utara di sini.

Menurut syarikat itu loji tersebut dijangka menyumbang kepada perolehan pada suku ketiga tahun kewangan 2025.

Ketua Pegawai Operasi Nice Tan Ken Sim berkata pihaknya telah melabur kira-kira RM50 juta melalui perbelanjaan modal untuk usaha intensif tiga tahun dalam cari gali mineral sebelum pengoperasian loji itu.

Beliau berkata loji itu dijangka memproses sekitar 30,000 tan hingga 40,000 tan tanah yang mengandungi mineral serta mengekstrak enam hingga 12 kilogram emas pada tahap optimum dalam tempoh sebulan.

“Apabila berjaya mengoperasikan dan mengoptimumkan kemudahan itu, kami akan beralih ke loji kedua, yang dijangka beroperasi pada pertengahan tahun depan, tetapi itu akan bergantung kepada beberapa faktor lain,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Pihaknya akan terus membuat lubang tinjauan, yang melibatkan penggerudian di tempat tertentu untuk mencari kawasan yang berpotensi mengandungi emas, katanya.

“Apabila kami mendapati adanya emas, kami akan melakukan zum dekat lokasi itu untuk mempunyai jarak yang lebih terhad. Kemudian, kami boleh menentukan sumber itu,” katanya.

Bagaimanapun, Tan enggan mendedahkan jumlah penggerudian yang dibuat setakat ini.

Lokasi loji yang baru beroperasi itu adalah sebahagian daripada kawasan konsesi perlombongannya, yang berjumlah kira-kira 1,831.04 hektar di Hutan Simpan Kekal Sokor Taku, Sokor.

Menurut kenyataan Nice pada Jumaat, kawasan itu meliputi Sokor Utara (547.42 hektar), Sokor Tengah (373.32 hektar) dan Sokor Selatan (910.30 hektar).

“Pencapaian itu menandakan detik penting perjalanan Nice dalam cari gali mineral dan sektor perlombongan logam berharga di Malaysia,” jelas syarikat itu.

Tan berkata pencapaian tersebut juga mencerminkan komitmen pasukan dalam usaha pembangunan lombong yang sukar serta komitmen syarikat terhadap pertumbuhan dan inovasi.

“Berdasarkan permintaan global terhadap mineral, usaha sulung ini memberikan peluang berharga kepada Nice untuk meneroka prospek tambahan dalam sektor perlombongan.

“Kami yakin pencapaian ini akan menyokong usaha berterusan kami untuk pertumbuhan dan pengembangan di samping berusaha ke arah mewujudkan kehadiran kukuh dalam industri emas dan mineral di rantau ini,” katanya.

Mengenai prospek, Tan berkata pihaknya merancang untuk mengoptimumkan loji larut resap di Lombong Emas Sokor Utara, meneroka lebih banyak tapak deposit emas dan mengembangkan operasi untuk meningkatkan pengeluaran.

Nice yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu mempunyai enam anak syarikat di Malaysia, satu di Indonesia, dan satu di Hong Kong (kini dinyahdaftar), menumpukan perlombongan dan mineral, pembinaan dan perkhidmatan, serta perdagangan logam dan batu berharga.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan