JENAYAH & MAHKAMAH

AHLI PERNIAGAAN RUGI RM5.2 JUTA TERPERDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD

15/11/2024 04:22 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Nov (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian RM5.2 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata lelaki berumur 67 tahun itu terlihat tawaran dalam pelaburan saham berkenaan dan berminat menyertai skim yang didakwa dijalankan di China.

Beliau berkata mangsa telah menghubungi pihak berkaitan dan diminta memuat turun aplikasi MMcT-Pro yang berfungsi memantau pergerakan wang pelaburan yang dihantar menerusi e-mel kepadanya.

“Mangsa yang dijanjikan keuntungan besar dalam masa singkat diarahkan membuat tiga kali pembayaran RM100,000.

“Pada peringkat awal mangsa cuba membuat pengeluaran wang melalui aplikasi berkenaan dan tiga pengeluaran pertama berjaya ditunaikan ke akaun mangsa berjumlah RM89,800. Mangsa mendapati wang yang diterima adalah daripada akaun sebuah syarikat tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata mangsa yang semakin yakin dengan skim itu membuat pelaburan RM240,000 yang dibayar secara berperingkat ke beberapa akaun berlainan.

Bagaimanapun bagi pengeluaran wang seterusnya, mangsa diminta membuat pembayaran RM1 juta sebagai pembahagian keuntungan.

“Selepas membuat bayaran itu mangsa diarahkan pula menjelaskan cukai RM1.7 juta. Mangsa telah membuat pembayaran di kaunter bank tempatan.

“Tidak terhenti di situ, mangsa seterusnya diminta membuat bayaran deposit RM520,000 kononnya untuk siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.

Mohd Khairi berkata sepanjang urusan pelaburan, mangsa telah membuat 13 pindahan wang ke tujuh akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM5.2 juta.

“Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan