AM

TRAGEDI SUNGAI JAHANG: AKTIVITI RIADAH, 'OUTDOOR' DI KAWASAN SUNGAI DIHENTIKAN SERTA-MERTA

16/11/2024 10:08 AM

IPOH,16 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar mengarahkan semua aktiviti riadah dan kegiatan luar (outdoor) melibatkan kawasan sungai di daerah Kampar dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta.

Pegawai Daerah Kampar Nazrul Fahmi Mohamad arahan berkenaan merangkumi pemberhentian operasi aktiviti rakit arus deras atau water rafting dan berkayak tiub atau water tubing.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar telah memutuskan semua aktiviti riadah dan outdoor dihentikan buat sementara waktu sehingga arahan selanjutnya oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian petang semalam, tiga petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan JKR Langkawi, Kedah lemas ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng.

Mangsa dikenal pasti iaitu Suhali Mat Saad, 47, jurutera daerah SPT yang beralamat di Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Dua mangsa lagi Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, (penolong jurutera kanan JKR Langkawi) yang beralamat di Kuaters JKR Ayer Hangat, Kuah, Langkawi dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, (pegawai khidmat pelanggan JKR Langkawi) beralamat di Taman Permata, Jitra, Kedah.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan air Sungai Jahang naik mendadak mengakibatkan satu bot water rafting yang dinaiki enam penumpang dan seorang guide atau pemandu peserta terbalik.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan