EKONOMI

PERNIAGAAN MALAYSIA DIGALAKKAN TEROKA INDUSTRI HALAL DAN PERTANIAN KENYA - PESURUHJAYA TINGGI

21/11/2024 01:01 PM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Perniagaan Malaysia digalakkan untuk meneroka peluang pelaburan di Kenya terutama dalam sektor pertanian yang memerlukan teknik pertanian pintar dan pengetahuan perindustrian serta industri halal.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad berkata kerajaan Kenya mengagumi kejayaan transformasi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian sementara Kenya pula kekal berorientasikan pertanian walaupun kedua-dua negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada masa yang sama.

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957 manakala Kenya pada 12 Disember, 1963.

Ruzaimi berkata Kenya telah mengimport sejumlah besar produk perkilangan dari Malaysia termasuk barangan elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan produk makanan, negara itu mengeksport kopi, teh, sayur-sayuran, bunga dan buah-buahan seperti alpukat ke Malaysia.

“Secara amnya, Kenya dianggap sebagai negara yang selamat. Saya mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia datang ke sini untuk meneroka dan melabur dalam sektor pertanian.

“Perkara baik mengenai Kenya ialah ia mempunyai jumlah tanah yang luas dan kos buruh adalah murah...bagaimanapun, masalah di sini adalah kos pengangkutan tinggi,” katanya secara berseloroh kepada wartawan Malaysia di Nairobi, Kenya pada majlis sambutan ketibaan penerbangan terus pertama AirAsia X Bhd (AAX) dari Kuala Lumpur ke Nairobi baru-baru ini.

Bagi industri halal, Ruzaimi yang menguruskan industri berkenaan di Kenya sejak Februari 2023 berkata perniagaan Malaysia harus meneroka pasaran Kenya kerana penduduk Islam ramai di negara itu, membentuk kira-kira 11 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk berjumlah sekitar 56 juta.

“Selain itu, produk halal dapat menarik umat Islam dan bukan beragama Islam kerana mereka tahu bahawa jika produk itu halal...ia akan diproses dengan teliti,” katanya.

Statistik diberikan oleh pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kenya menyatakan bahawa perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kenya meningkat 1.70 peratus kepada US$1.20 bilion (US$1= RM4.46) pada 2023 daripada US$1.18 bilion pada 2022.

Perdagangan dua hala berjumlah US$765.5 juta dari Januari hingga September 2024.

“Item eksport utama Malaysia ke Kenya ialah minyak sawit dan produk petroleum manakala import adalah bijih logam/besi sekerap dan produk pertanian,” menurut statistik tersebut.

Ruzaimi berkata penerbangan terus AAX itu, satu-satunya penerbangan terus menghubungkan Malaysia dan rantau Afrika setakat ini, ditambah dengan kuasa beli lebih kukuh dalam kalangan rakyat Kenya selepas pandemik COVID-19, boleh meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kenya sebanyak 10 peratus.

Beliau juga optimis penerbangan terus tersebut memendekkan masa perjalanan kepada sembilan jam daripada hampir 15 jam sebelum ini, ia dapat menggalakkan lebih ramai pelancong dan pelajar ke Malaysia terutama apabila ia menjadi negara tuan rumah dan pengerusi ASEAN 2025.

Beliau memberitahu bahawa setiap tahun, kira-kira 1,000 pelajar Kenya baharu mendaftar di institusi pengajian tinggi Malaysia terutama di institusi pengajian tinggi swasta.

“Sebahagian daripada mereka turut menyertai program pasca siswazah atau ijazah Doktor Falsafah (PhD) di universiti tempatan,” katanya.

Kenya terletak di bahagian timur Afrika, berkeluasan 7,128 kilometer dari Malaysia, ekonomi negara itu sebahagian besarnya didorong oleh sektor pertanian, menyumbang 21.8 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 Biro Perangkaan Kebangsaan Kenya yang dikeluarkan pada Mei, 2024: “Secara keseluruhan, aktiviti perkhidmatan (termasuk pelancongan) menyumbang 61.3 peratus kepada KDNK manakala aktiviti berkaitan industri membentuk 16.9 peratus daripada KDNK pada 2023.”

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan