AM

MALAYSIA PERLU TERAJU USAHA UBAH ASEAN JADI HAB INOVASI MAMPAN

23/11/2024 12:37 PM

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu menerajui usaha mengubah ASEAN menjadi hab bagi inovasi mampan, dengan memanfaatkan ekosistem pembuatannya yang teguh dan mengembangkan ekonomi digital, kata Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah.

Beliau mengetengahkan kepentingan ASEAN dengan Malaysia sebagai pengerusi, untuk menggabungkan teknologi Industri 4.0 merentasi industri ASEAN, dan menyatakan bahawa kemajuan sedemikian boleh meningkatkan produktiviti dengan ketara di samping mengurangkan kos terhadap alam sekitar.

“Dengan Malaysia meningkatkan reputasinya sebagai hab pusat data AI global, mengimbangi kos alam sekitar dengan pelaburan strategik adalah penting. Peranan kita dalam sektor semikonduktor dan rantaian bekalannya juga boleh digunakan untuk memanfaatkan pertumbuhan global,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk ‘Hala Tuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025’ di Kompleks Seri Perdana semalam.

Mohd Faiz merupakan seorang daripada ahli panel sepanjang sesi hampir dua jam itu. Sesi itu turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai moderator, manakala ahli panel lain terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Felo Kehormat Akademi Perak Bunn Nagara.

Beliau berkata kerjasama Malaysia dengan negara ekonomi sedang pesat membangun seperti Brazil dan China adalah bukti daya tarikannya yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan.

Beliau seterusnya mengetengahkan potensi ASEAN untuk memperdalam perkongsian ekonomi dengan Global Selatan, termasuk Asia Selatan, Afrika, dan Amerika Latin, dengan penyertaan Malaysia dalam BRICS boleh mempelbagaikan lagi kebergantungan perdagangan dan memupuk kerjasama Selatan-Selatan.

“Gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menampilkan amalan perdagangan yang saksama, menyerlahkan lagi keperluan untuk perkongsian yang dibina atas kesaksamaan dan nilai bersama,” katanya sambil menambah bahawa peranan utama negara sebagai fasilitator dialog dalam pemindahan teknologi, pertanian mampan dan tenaga boleh diperbaharui, adalah sejajar dengan aspirasi strategik ASEAN.

Beliau turut merujuk Sidang Kemuncak Trilateral ASEAN-GCC-China yang dijadualkan pada 2025, sebagai mekanisme kritikal untuk menghubungkan kawasan pertumbuhan di Asia Barat, Tenggara dan Timur.

“Kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan bergantung kepada pendekatan seimbang yang menggabungkan cita-cita dengan pragmatisme. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita yang dinamik, saya yakin kita akan dapat bangkit,” katanya.

Mengenai cabaran global, Mohd Faiz menekankan kepentingan menangani perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, dan pencemaran, di samping memberi amaran bahawa isu sebegini mengancam keselamatan dan kemakmuran serantau.

“Rangka kerja MADANI Malaysia, berakar umbi dalam pembangunan inklusif dan mampan, selari dengan aspirasi ASEAN untuk menerajui keprihatinan ini secara global,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk ASEAN memperkukuh suaranya dalam hal ehwal global, khususnya dalam memperjuangkan dasar perdagangan yang saksama, penyesuaian perubahan iklim, dan transformasi digital.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 bakal menjadi ujian penting kepada Perdana Menteri, sama ada tanggapan dunia terhadap kepimpinannya benar atau sebaliknya.

“Pada pandangan saya, saya amat yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya mempengerusikan ASEAN, walaupun kita akan menghadapi dasar luar Amerika Syarikat yang mungkin berbeza, dasar fiskal, dan beberapa pendekatan lain yang tidak dijangka, terutama dengan pelantikan beberapa setiausaha kanan baharu yang dianggap tokoh kontroversial,” katanya.

Ahmad Zahid berkata situasi sedemikian mungkin membawa kesan buruk kepada rantau ini, tetapi Malaysia diyakini mampu menonjolkan kepimpinannya di peringkat ASEAN.

“Dalam keadaan yang mencabar ini, saya yakin Malaysia akan terus tersohor dan memainkan peranan penting dalam kepimpinan ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan