AM

PROGRAM 2TM, KONVENSYEN REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM 2024 TINGKAT KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN

21/11/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan melalui pemahaman mendalam mengenai agenda serta inisiatif yang telah dilaksanakan.

Pengarah Eksekutif Unit Penyelaras Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Ahmad Jefry Aziz @ Adan berkata program selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Nov di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, akan melibatkan semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan, dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

“Ia merupakan sesi libat urus yang boleh kita anggap sebagai mega libat urus antara kerajaan dan rakyat. Semua kementerian akan hadir untuk memaparkan pencapaian kerajaan selama dua tahun ini. Apabila rakyat hadir, mereka boleh melihat tahap pencapaian serta memahami program dan inisiatif telah dilaksanakan.

“Yang penting, kita ingin mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan terhadap program yang telah dilaksanakan sebelum ini. Naratif utama program ini adalah untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya menerusi temu bual menerusi radio IKIMfm pagi ini.

Ahmad Jefry berkata tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan perlu dinilai secara berkala bagi memperkukuh segala inisiatif sedia ada supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat.

Beliau berkata kajian terkini oleh IPSOS bulan ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju kerajaan meningkat kepada 71 peratus berbanding 52 peratus pada November tahun lepas.

Mengenai program berkenaan, Ahmad Jefry berkata pelbagai perkhidmatan akan disediakan kepada rakyat sepanjang program berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang, antaranya perkhidmatan tersebut ialah diskaun saman hingga 60 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penukaran topi keledar baharu secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tajaan penuh turut ditawarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di bawah Kementerian Kerja Raya bagi membantu golongan yang ingin meningkatkan kemahiran teknikal mereka.

Sejumlah 40 majikan akan menyertai Karnival Kerjaya yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan sepanjang program berkenaan, katanya.

Beliau berkata Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Nov pula akan menumpukan kepada lima perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat, khususnya penjawat awam.

“Lima perkara akan dibincangkan adalah penghayatan nilai dan tadbir urus berkaitan Malaysia MADANI dan nilai patriotisme, pembangunan modal insan dalam kalangan penjawat awam, pembangunan organisasi dengan meneliti dan mengemas kini peraturan perlu diperbaiki, peningkatan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh, serta sinergi antara perkhidmatan awam dan swasta,” katanya.

Ahmad Jefry berkata acara kemuncak program itu ialah sesi menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sebagai simbolik komitmen reformasi penjawat awam, yang akan berlangsung pada Majlis Perasmian 2TM pada 23 Nov.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan