AM

TIGA BERANAK MAUT, BAYI SETAHUN SELAMAT DALAM KEMALANGAN DI LEBUHRAYA DUKE

21/11/2024 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Seorang bayi lelaki selamat namun tiga ahli keluarganya maut dalam kemalangan di Kilometer 2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) 2 arah Sungai Buloh menghala ke Tol Segambut, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa seorang lelaki berusia 37 tahun, isterinya yang berusia 27 tahun dan seorang anak perempuan mereka berumur empat tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bayi lelaki berusia kira-kira setahun selamat dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Rusdi berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, motosikal yang dinaiki keluarga berkenaan hilang kawalan selepas dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum melanggar belakang sebuah lori yang sedang memunggah barangan daripada lori yang rosak.

“Sebelum kemalangan berlaku terdapat sebuah lori yang membawa produk makanan basah berhenti kerana rosak dan pada masa terdapat sebuah lagi lori berhenti di bahagian belakang (lori rosak) untuk proses memindah barangan.

“Pemilik lori bersama pekerja telah meletakkan kon keselamatan dan dua pekerja membuat kawalan (lalu lintas) semasa pemindahan barang dibuat,” katanya.

Rusdi berkata proses bedah siasat tiga sekeluarga berkenaan selesai pada 2.30 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, dekat sini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan