ALOR SETAR, 23 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain terharu dengan komitmen pemainnya yang menunjukkan mutu permainan baik ketika menewaskan KL City FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Beliau berkata walaupun pasukan itu masih berdepan masalah dalaman yang menyaksikan beberapa pemain tidak diturunkan pada saat akhir, namun ia tidak mematahkan semangat pemain yang ada untuk memberikan aksi terbaik.
“Alhamdulillah syukur, kemenangan yang penuh bermakna, tahniah kepada pemain dan pada masa sama saya sangat terharu dengan kesungguhan dan semangat mereka walaupun pasukan dalam situasi yang serba-serbi kekurangan.
“Kita tahu bertemu dengan KL City begitu mencabar kerana salah satu pasukan pilihan Piala Malaysia, tapi kita dapat bermain dengan baik, apa yang penting kita mencatat kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas KDA FC menundukkan KL City FC 3-2 malam tadi.
Nafuzi berkata pada awalnya beliau mengakui bimbang dengan tindakan beberapa pemain yang tidak turun beraksi dalam perlawanan tersebut namun enggan menyalahkan mereka kerana situasi yang membelenggu pasukan ketika ini.
Beliau berkata kekurangan pemain menyebabkan hanya satu pertukaran dapat dilakukan ketika kebanyakan pemain mengalami kecederaan dan kepenatan seterusnya menjejaskan fokus pasukan.
“Semasa taklimat pasukan petang tadi (semalam), mereka putuskan tidak ingin beraksi dan jumlah yang ada 11 pemain dan satu simpanan kita ada, itu yang kita ada, kita bernaib baik kerana cukup 11 pemain di atas padang.
“Susah nak gambarkan apabila dapat kemenangan ini dengan permasalahan sebelum perlawanan ini, dari segi fokus dan banyak benda, jadi saya anggap ini mungkin dugaan, cabaran, pengalaman untuk saya sebagai jurulatih,” katanya.
-- BERNAMA