KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Forum Perniagaan Antarabangsa “World of Opportunities: Russia-ASEAN” yang julung kali diadakan bermula hari ini adalah tindakan susulan yang pantas daripada Rusia berikutan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vladivostok, Rusia pada September.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata, selepas lawatan itu, Rusia terus berhubung dengan Malaysia untuk menganjurkan forum berkenaan bagi membincangkan aspek yang disentuh semasa lawatan Perdana Menteri ke Rusia.
"Saya yakin ini sebenarnya satu daripada tindakan terpantas daripada pihak Rusia. Kami (MATRADE) mengharapkan program seperti ini pada masa depan supaya kita dapat mengenal pasti bidang kerjasama baharu selanjutnya," katanya dalam sesi plenari pada forum bertajuk ‘Rusia dan ASEAN: Menuju Tahap Baharu Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi.’
Semasa lawatan Anwar ke Vladivostok pada September, beliau dilaporkan berkata lawatan kerja selama dua hari itu adalah penggalak utama dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Perdana Menteri berkata, pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Rusia Vladimir Putin telah dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan perdagangan malah kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G) meliputi bidang aeroangkasa, teknologi maju, peralihan tenaga dan pertanian moden.
Pada 2023, Rusia adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (US$3.1 bilion) daripada RM12.3 bilion (US$2.79 bilion) pada 2022.
Mengulas mengenai hubungan Malaysia-Rusia, Abu Bakar berkata perdagangan antara kedua-dua negara berkembang pada tahun lepas meskipun berdepan banyak ketidaktentuan.
“(Pertumbuhan) dua digit bagi perdagangan, adalah untuk eksport dan import. Kebanyakan perdagangan kita (Malaysia) dengan negara lain adalah perlahan atau terdapat pertumbuhan negatif. Tahun ini, dari Januari hingga Oktober, eksport kita ke Rusia dan import dari Rusia turut meningkat. Oleh itu, itu yang patut kita teliti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia Tan Sri Nazir Razak yang juga antara penceramah pada sesi itu menyifatkan program berkenaan adalah tepat pada masanya, terutama memandangkan Malaysia mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Bercakap kepada pemberita, katanya menerusi program ini, Malaysia boleh mempelawa pihak dari Rusia yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk berbincang dan menyertai banyak kerjasama.
Dianjurkan oleh Roscongress Foundation, forum dua hari itu bertujuan memperteguh kedudukan penggiat ekonomi utama di rantau ini selain berperanan sebagai platform penting bagi perbincangan dan liputan meluas terhadap pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Rusia dan ASEAN.
-- BERNAMA