DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI MENJEJAKI PASARAN MINYAK KACANG SOYA KUKUH DI CBOT

26/11/2024 09:43 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, menjejaki pasaran minyak kacang soya yang lebih kukuh di Chicago Board of Trade (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi dan jangkaan pengeluaran yang lebih lemah dalam beberapa minggu akan datang turut meningkatkan sentimen pasaran.

“Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,650 satu tan dan paras rintangan pada RM4,850 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, harga MSM mula pulih berikutan pembelian murah disebabkan pemulihan niaga hadapan minyak kacang soya CBOT, dipacu oleh ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengancam mengenakan 25 peratus tarif ke atas produk Mexico dan Kanada yang memasuki ke negara itu.

Menurut Anilkumar, eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1 hingga 25 Nov, 2024 seperti yang dianggarkan oleh AmSpec Agri Malaysia turun sebanyak 8.19 peratus kepada 1.16 juta tan manakala Intertek Testing Services mengunjurkan penurunan 9.22 peratus kepada 1.20 juta tan bagi tempoh 1 hingga 25 Okt, 2024.

Selain itu, beliau berkata Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menjangkakan pengeluaran minyak sawit Malaysia akan merosot sebanyak 5.19 peratus untuk tempoh 1 hingga 20 Nov, 2024.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Disember 2024 meningkat RM22 kepada RM4,851 setiap tan, Januari 2025 berkembang RM33 kepada RM4,800 setiap tan dan Februari 2025 melonjak RM36 kepada RM4,735 setiap tan.

Kontrak Mac 2025 bertambah RM43 kepada RM4,650 setiap tan, April 2025 meningkat RM50 kepada RM4,564 setiap tan dan Mei 2025 melonjak RM51 kepada RM4,480 setiap tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 75,291 lot daripada 55,017 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 233,557 kontrak daripada 235,537 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan kekal tidak berubah pada RM4,950 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan