EKONOMI

VANZO HOLDINGS BAKAL KE PASARAN ACE SASAR RAIH RM14 JUTA DARIPADA IPO

27/11/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Vanzo Holdings Bhd menyasarkan untuk meraih RM14 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Disember ini.

Syarikat pewangi udara itu dalam kenyataan hari ini berkata IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 93 juta saham baharu pada harga 15 sen sesaham.

Berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 466.75 juta saham, permodalan pasarannya akan menyumbang kira-kira RM70 juta.

Hasil daripada IPO berkenaan akan membolehkan syarikat itu melabur dalam fasa pengembangan perniagaan seterusnya, katanya.

"Vanzo telah memperuntukkan 47.2 peratus daripada hasil IPO untuk pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran, 21.4 peratus bagi membayar semula pinjaman bank dan selebihnya bagi modal kerja (lima peratus) serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian (26.5 peratus)," katanya.

Menurut Vanzo pengembangan itu turut meliputi cadangan untuk menubuhkan empat kios runcit baharu bagi meningkatkan kebolehlihatan jenama dan jumlah pelanggan Vanzo.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Vanzo, Allan Wong berkata syarikat itu merancang untuk membuka empat kiosk pada 2026 di negeri berbeza.

"Setakat ini, kami menyasarkan empat negeri iaitu Sabah, Johor Bahru, Pulau Pinang dan lokasi yang tidak ditetapkan di Lembah Klang. Bagaimanapun, kami belum mempunyai mana-mana lokasi khusus," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini.

Menurutnya Vanzo turut menyasarkan untuk mengeluarkan satu aroma baharu pada setiap tahun.

Syarikat akan memberi tumpuan kepada tiga strategi dan rancangan utama untuk mengekalkan perniagaan termasuk mengukuhkan kehadiran dan jenama Vanzo selain meningkatkan jangkauan pengedarannya, katanya.

Sehingga kini, syarikat telah memasarkan dan menjual 12 siri produk wangian untuk kereta dan dalam rumah/bangunan serta empat produk penjagaan peribadi dan rumah yang mempunyai 28 bauan.

Menerusi IPO ini, Vanzo akan menerbitkan 23.34 juta saham baharu kepada orang ramai, 23.34 juta saham tambahan kepada pengarah, pekerja, dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, serta 46.68 juta saham kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian.

Tempoh permohonan IPO Vanzo bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 4 Dis 2024.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan