DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG SAHAM PERLADANGAN

27/11/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit pada Rabu apabila saham utiliti membantu menyeimbangkan tekanan jualan dalam saham sektor perladangan. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.10 mata kepada 1,604.25 daripada 1,603.15 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.81 mata pada 1,601.34 dan berlegar antara 1,600.83 dan 1,609.41 sepanjang sesi.

Pasaran yang lebih luas adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi 590 berbanding 480, manakala 494 kaunter tidak berubah, 893 tidak diniagakan dan 44 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.96 bilion berbanding 2.54 bilion unit bernilai RM2.37 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks sektor utiliti naik 1.8 peratus, dipacu oleh keputusan pendapatan pemain utama dalam sektor itu.

Kekuatan pasaran juga dicerminkan dalam indeks FBM Small Cap, FBM Mid Cap, dan FBM ACE namun beberapa sektor menurun ekoran jualan pada saat akhir, katanya. 

"Penyertaan pasaran pada masa hadapan dilihat beralih tumpuan kepada pengeluaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini, termasuk Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), angka pendapatan dan perbelanjaan peribadi serta anggaran semula keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga.

Beliau berkata laporan PCE Oktober dijangka menyerlahkan tekanan inflasi yang berterusan, dengan PCE teras diunjurkan meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan dan inflasi utama PCE mungkin meningkat sebanyak 0.2 peratus.

Pada asas tahun ke tahun, PCE teras dijangka meningkat sehingga 2.8 peratus daripada 2.7 peratus, manakala PCE keseluruhan diunjur meningkat kepada 2.3 peratus daripada 2.1 peratus, menunjukkan bahawa inflasi kekal di atas paras sasaran Rizab Persekutuan (Fed) AS sebanyak 2.0 peratus.

"Jika inflasi terus meningkat, Fed mungkin memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa pada mesyuarat akan datang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penurunan kecil keuntungan dalam perindustrian China sebanyak 10 peratus pada Oktober berbanding penyusutan 27.1 peratus pada September mungkin memberi sedikit sokongan.

Oleh itu, beliau menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam jajaran antara 1,585 dan 1,615 untuk baki minggu ini.

Bagi saham wajaran tinggi YTL Power menokok 22 sen kepada RM3.42, YTL Corp naik 14 sen kepada RM2.09 dan RHB Bank menokok 11 sen kepada RM6.78. Sebaliknya, KLK turun RM1.12 kepada RM20.50 dan Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM4.73.

Antara saham aktif, Genetec Technology melonjak 29.5 sen kepada RM1.17, MBSB naik dua sen kepada 74.5 sen, JCY International menambah lima sen kepada 40.5 sen, Globetronics meningkat enam sen kepada 59 sen, dan Cape EMS susut setengah sen kepada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.02 mata kepada 12,190.97, Indeks FBMT 100 menokok 11.18 mata kepada 11,887.55, Indeks FBM 70 menokok 28.06 mata kepada 17,918.91 dan Indeks FBM ACE melonjak 39.49 mata kepada 5,178.74.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah susut  17.94 mata kepada 12,112.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.28 mata kepada 19,236.84, manakala Indeks Perladangan susut 51.32 mata kepada 7,481.33, Indeks Tenaga turun 2.44 mata kepada 818.69, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.63 mata kepada 171.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.69 bilion berbanding 1.22 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.06 bilion unit bernilai RM108.26 juta daripada 815 juta unit bernilai RM94.54 juta sebelum itu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 427.73 juta unit bernilai RM164.19 juta berbanding 507.51 juta unit bernilai RM131.65 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 222.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (288.20 juta), pembinaan (110.40 juta), teknologi (403.55 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (150.41 juta), hartanah (156.05 juta), perladangan (49.25 juta), REIT (13.04 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (94.40 juta), penjagaan kesihatan (59.71 juta), telekomunikasi dan media (19.75 juta), pengangkutan dan logistik (21.64 juta), utiliti (114.35 juta), dan amanah perniagaan (11,300).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan