KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM500.57 juta bagi suku kedua berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM469.78 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil turut meningkat kepada RM1.23 bilion daripada RM1.12 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Sept, 2024, keuntungan bersih meningkat kepada RM1.00 bilion daripada RM848.15 juta manakala hasil meningkat kepada RM2.41 bilion daripada RM2.33 bilion sebelumnya.
Kumpulan itu berkata bagi separuh pertama tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac, 2025, pendapatan faedah bersih (NII) meningkat sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM1.76 bilion (Separuh pertama 2024: RM1.65 bilion).
“Pertumbuhan ini dipacu oleh pengembangan 14 mata asas dalam margin faedah bersih (NIM) kepada 1.93 peratus (Separuh pertama 2024: 1.79 peratus), di samping pertumbuhan dalam pinjaman dan pembiayaan.
"Pendapatan bersih daripada operasi yang berterusan adalah 5.8 peratus lebih tinggi tahun ke tahun, diterajui oleh pertumbuhan NII dan pendapatan bukan faedah (NOII) sebanyak 6.5 peratus dan 4.0 peratus," katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Caj kemerosotan nilai bersih berkurangan kepada RM57.2 juta (Separuh pertama 2024: RM203.5 juta) disebabkan oleh caj kemerosotan nilai bersih yang lebih rendah dalam Perbankan Runcit dan Perbankan Perniagaan serta pembalikan peruntukan yang lebih tinggi dalam Perbankan Borong.
Sehubungan itu, bank berkenaan berkata keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) meningkat 18.0 peratus tahun ke tahun kepada RM1.00 bilion, meningkatkan pulangan tahunan ke atas ekuiti kepada 10.1 peratus (Separuh pertama 2024: 9.3 peratus) dan pulangan ke atas aset kepada 1.02 peratus (Separuh pertama 2024: 0.89 peratus).
Pinjaman kasar, pendahuluan dan pertumbuhan pembiayaan adalah mendatar dari awal tahun sehingga kini (YTD) pada RM134.5 bilion, tetapi berkembang 2.8 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh pertumbuhan pinjaman Perbankan Perniagaan sebanyak 7.0 peratus YTD dan 16.7 peratus tahun ke tahun.
Deposit pelanggan turun 4.3 peratus YTD kepada RM136.3 bilion tetapi meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun. Deposit masa kekal tidak berubah YTD pada RM90.2 bilion. Baki akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) turun 12.7 peratus YTD kepada RM46.1 bilion, menyebabkan campuran CASA yang lebih rendah sebanyak 33.8 peratus.
Melangkah ke separuh kedua tahun kewangan 2025, AmBank berkata kumpulan itu akan menumpukan kepada mengembangkan buku pinjamannya, terutamanya segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat pertengahan sambil menempatkan semula segmen perbankan Runcitnya.
“Bank ini juga akan membina dan mengembangkan cadangan pengurusan kekayaannya serta membangunkan penyelesaian rantaian bekalan yang cekap untuk pelanggan.
“Selain itu, melalui usaha pendigitalan, AmBank Group komited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui kecekapan proses yang dipertingkatkan dan peralatan produktiviti yang menumpukan kepada pelanggan,” katanya.
Bank itu menambah sejajar dengan prospek ekonomi Malaysia yang semakin baik, kumpulan berkenaan kekal optimistik mengenai prospeknya untuk tahun kewangan 2025 dan peka terhadap ketidaktentuan pasaran yang berpunca daripada risiko geopolitik.
Bank itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat 10.3 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan 2025, meningkat 71.7 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen 34 peratus untuk separuh pertama tahun kewangan 2025, perlu dibayar pada 30 Dis, 2024.
-- BERNAMA