ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 10 rumah di Changlun dalam daerah Kubang Pasu dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam, sehingga menyebabkan paras air Sungai Laka di Kampung Padang Pasir meningkat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata rumah di Kampung Nangmah mula dinaiki air kira-kira pukul 6 pagi tadi.
“Pemantauan yang dilakukan mendapati, trend air semakin meningkat serta ketinggian paras air lebih 1.2 meter, dan anggota yang berada di lapangan masih membuat pemantauan ketika ini.
“Kita juga menasihatkan mangsa yang terlibat untuk berpindah ke tempat selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS), bagaimanapun buat masa ini tiada PPS yang dibuka dan kita masih menunggu kelulusan daripada pegawai daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengeluarkan amaran banjir di daerah Kubang Pasu, yang dijangka berlaku tengah hari ini sehingga Jumaat ini.
Antara lokasi dijangka dinaiki air ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Laka (Sungai Temin) iaitu Kampung Paya Nongmi Jalan Changlun-Jitra, Kampung Telok dan Kampung Padang Pasir.
PRABN memaklumkan banjir diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada yang dijangka dan amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan banjir berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
-- BERNAMA