KANGAR, 27 Nov (Bernama) -- Pernikahan luar negara seperti di Thailand yang tidak teratur dikenal pasti antara faktor berlakunya isu kelewatan pendaftaran sijil kelahiran di Perlis, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis Madihah Muhammad.
Beliau berkata situasi ibu bapa yang lambat membuat pengesahan pernikahan berkenaan di negara ini, menyebabkan anak-anak mereka tidak mempunyai sijil kelahiran sehingga mencapai umur sekolah rendah atau melebihi tempoh 60 hari selepas dilahirkan.
“Bagi kes pendaftaran lewat, kebanyakannya berlaku akibat kecuaian ibu bapa yang melibatkan pernikahan tidak teratur ini. Selain itu, masalah kewangan juga menjadi penyumbang kepada berlakunya kelewatan pendaftaran sijil kelahiran ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Madihah menyerahkan sijil kelahiran melalui permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran kepada tiga beradik berumur antara empat hingga 11 tahun di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar lebih cakna mengenai dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran anak-anak, untuk memastikan sebarang urusan berkaitan seperti persekolahan mereka berjalan lancar.
Sementara itu, Madihah berkata hanya 22 permohonan untuk Daftar Lewat Sijil Kelahiran direkodkan pada 2020 di Perlis, manakala pada 2024 setakat ini merekodkan sebanyak 63 permohonan iaitu peningkatan lebih 50 peratus.
“JPN Perlis juga telah mengambil inisiatif untuk turun padang bagi menyemak dan memproses dokumen yang diperlukan terutama bagi kes pendaftaran lewat ini.
“Pasukan kami bergerak ke kampung-kampung bagi menyelesaikan masalah ini, termasuk menerima maklumat daripada penduduk setempat dan mengambil tindakan segera,” katanya.
-- BERNAMA