Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia mempunyai peluang perniagaan boleh diteroka yang belum dimanfaatkan dengan perniagaan Rusia di tengah-tengah kebimbangan mengenai kenaikan tarif, membuka peluang kepada kedua-dua negara meningkatkan volum perdagangan dan mengukuhkan hubungan ekonomi.
Presiden Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM) Chang Yew Cheong berkata beberapa syarikat Rusia yang telah lama beroperasi di Malaysia menawarkan peluang untuk mengeratkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.
Selain itu, katanya kedudukan geografi Rusia-Malaysia yang berhampiran memberikan kelebihan strategik terhadap perdagangan antara ekonomi ini.
"Sebagai contoh, kita telah menggunakan produk Kasperksy dan sekiranya kita melihat daripada perspektif lain, pada masa ini banyak ahli kami menjalankan perniagaan dengan rakan niaga dari China, menggunakan transaksi ringgit-yuan, yang lebih berkesan.
“Saya yakin kita boleh melakukan perkara yang sama dengan Rusia. Negara berkenaan mempunyai teknologi maju dan pada masa sama, bank-bank Malaysia telah bersedia untuk mengendalikan transaksi dalam mata wang lain.
“Kita boleh melihat kepada transaksi ringgit-rubel. Bagaimanapun kita perlu memastikan volum transaksi yang ketara,” katanya kepada Bernama selepas perbincangan panel bertajuk ‘Prospek Kerjasama antara Rusia dan Negara-negara ASEAN dalam Bidang Transformasi Digital.’
Sesi perbincangan itu diadakan bersempena “World of Opportunities: Russia-ASEAN International Business Forum” di sini.
Pada masa ini, TEEAM mempunyai kira-kira 1,800 ahli dalam kalangan syarikat dan individu, yang terdiri daripada 10 persatuan negeri dan dikategorikan kepada kumpulan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan, kumpulan pembuatan, dan kumpulan perdagangan.
Chang turut menekankan bahawa, berikutan peluang yang tersedia untuk komuniti perniagaan, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk membentuk perjanjian perdagangan bagi memastikan transaksi perniagaan berjalan lancar dan tanpa halangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan kerja ke Rusia pada 4-5 September lepas bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok.
“Mungkin daripada ini, kita boleh melaksanakan beberapa persediaan seperti kemudahan untuk memudahkan aktiviti eksport dan import di samping meneliti perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara,” kata Chang.
Sementara itu, pada sesi panel, Ketua Pegawai Eksekutif First Group, Alexey Poroshin menekankan mengenai kepentingan keselamatan siber dan menurutnya ini lebih daripada perlindungan data untuk merangkumi pembangunan teknologi dan kepakaran dalam negara.
"Syarikat keselamatan siber Rusia boleh membantu (perniagaan Malaysia) dengan elemen yang kurang dalam mewujudkan teknologi, infrastruktur dan peraturan (berkaitan dengannya)," katanya.
Pada 2023, jumlah perdagangan antara Rusia dan Malaysia meningkat 11 peratus kepada US$3.11 bilion berbanding US$2.79 bilion pada 2022 (US$1=RM4.45).
Eksport Malaysia ke Rusia menokok 13 peratus kepada US$619.3 juta pada 2023 manakala eksport Rusia ke Malaysia naik 10.8 peratus kepada US$2.49 bilion.
"Eksport Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik ke Rusia menokok 96.9 peratus kepada US$154 juta. Barangan perindustrian kekal sebagai asas eksport Malaysia, meningkat kepada US$575.1 juta pada 2023 daripada US$499.3 juta pada 2022.
Sementara itu, import dari Rusia meningkat kepada US$2.05 bilion pada 2023 daripada US$1.4 bilion pada 2022.
-- BERNAMA