AM

PULAU PINANG KAJI SEMULA HAD PENDAPATAN SYARAT PERMOHONAN SEWA PPR, RSKN - EXCO

28/11/2024 01:27 PM

GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang kini dalam proses untuk menilai semula had pendapatan syarat permohonan penyewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN).

 Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata penilaian semula tersebut bertujuan agar ia lebih selari dengan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini iaitu RM2,209 sebulan, berdasarkan kajian rasmi yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Ia juga bertujuan agar lebih ramai golongan yang memerlukan diberi peluang untuk memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuan mereka.

“Pada masa ini, syarat kelayakan untuk penyewaan PPR dan rumah sewa di Pulau Pinang adalah berdasarkan jumlah pendapatan pemohon atau suami atau isteri tidak melebihi RM750 atau pendapatan seisi keluarga kurang daripada RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Phee Syn Tze (PH-Sungai Puyu) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan meminda syarat kelayakan menyewa rumah PPR bagi pemohon atau pasangan yang berpendapatan tidak melebihi RM750.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata kerajaan negeri melalui Manifesto Perpaduan 2023 telah memohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjadikan unit-unit PPR yang bakal dibekalkan di Pulau Pinang ditawarkan sebagai Skim Perumahan Sewa Khas bagi golongan belia atau bujang.

Katanya antara projek yang telah dikenal pasti bagi tujuan tersebut adalah Projek PPR Kota Giam, Jelutong yang akan membekalkan keseluruhan 500 unit.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan