AM

LIMA POS STATIK PGA DI SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND, SUNGAI GOLOK DITUTUP AKIBAT BANJIR

28/11/2024 01:55 PM

KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Lima daripada 13 pos statik Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok telah ditutup akibat terjejas banjir.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kelima-lima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.

“Kesemua anggota di pos yang ditutup telah dipindahkan ke lokasi penugasan lain namun masih melaksanakan penugasan seperti biasa. 

“Setiap sektor penugasan Op Taring Wawasan Kelantan juga telah diarahkan untuk membantu penduduk setempat di sektor masing-masing yang rumah mereka terlibat dengan banjir,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata bagi pos lain yang terjejas banjir dan masih belum ditutup, pemantauan paras air dilaksanakan secara berterusan.

Nik Ros Azhan berkata kesemua anggota masih menjalankan tugas seperti biasa, namun diingatkan supaya berjaga-jaga dengan risiko banjir serta mengutamakan keselamatan diri.

“Mereka diminta melaporkan dengan segera sekiranyan paras air naik dengan pantas serta menghampiri lantai pos,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga esok, dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan