JENAYAH & MAHKAMAH

PGA SERBU KILANG KAYU HARAM, RAMPAS LEBIH 400 KAYU BALAK

29/04/2025 12:09 AM

KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 400 batang kayu balak pelbagai saiz serta beberapa mesin berkaitan dalam serbuan di sebuah kilang kayu disyaki beroperasi secara haram di Kampung Tok Limin, dekat Bunut Susu, Pasir Mas hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan oleh sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada 10.45 pagi itu dilaksanakan menerusi Op Bersepadu Khazanah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan tidak memiliki lesen sah daripada Jabatan Perhutanan dan mendapatkan bekalan kayu tanpa permit serta tidak bercukai dari kawasan sekitar.

“Empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 67 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan termasuk kayu, jentera dan mesin pemproses kayu dianggarkan berjumlah RM1.17 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 93(2) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata Briged Tenggara PGA akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti pemprosesan kayu haram, khususnya di kawasan sempadan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan