EKONOMI

AXIATA KEMBALI BANGKIT, RAIH UNTUNG BERSIH RM976.67 JUTA BAGI SUKU KETIGA

28/11/2024 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Axiata Group Bhd (Axiata) mencatat prestasi kewangan memberangsangkan apabila meraih keuntungan bersih suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2024 yang mencecah RM976.67 juta berbanding kerugian bersih RM797.41 juta bagi suku sama setahun lepas.

Prestasi itu didorong oleh peningkatan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT), pulangan pertukaran asing pada suku ketiga 2024 berbanding suku ketiga 2023 serta pulangan daripada pelunasan awal hutang, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, perolehannya susut kepada RM5.32 bilion dalam suku ketiga itu daripada RM5.62 bilion pada tahun lepas, didorong kebanyakannya oleh penyusutan nilai mata wang rupiah Indonesia dan taka Bangladesh berbanding ringgit.

Bagi tempoh terkumpul selama sembilan bulan tahun kewangan 2024, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.17 bilion, sekali gus mengatasi kerugian bersih RM1.30 bilion pada tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM16.74 bilion berbanding RM16.21 bilion.

Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata pertumbuhan perolehan sebanyak 3.3 peratus setakat tahun ini disumbangkan oleh semua syarikat operasinya (OpCos) kecuali Link Net, Dialog dan Robi.

“Prestasi itu dipacu oleh perolehan lebih tinggi, pendapatan kewangan, bahagian daripada prestasi sekutu serta pulangan pertukaran mata wang asing yang lebih baik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vivek Sood berkata Axiata melakar kemajuan bermakna dalam usaha penciptaan nilai, disumbangkan oleh kecemerlangan operasi dan disiplin fiskal yang membawa kepada pertumbuhan perolehan, margin lebih tinggi dan mewujudkan lembaran imbangan yang mampan.

“Pencapaian penting itu termasuk penyiapan penggabungan Dialog-Airtel di Sri Lanka dan kemajuan potensi perbincangan menggabungkan XL Axiata dan Smartfren di Indonesia, seiring dengan strategi penyatuan pasaran kami,” katanya.

Beliau berkata pada September, kumpulan itu telah melengkapkan strategi menyusun semula pengurusan di Indonesia dengan pemindahan pelanggan daripada Link Net ke XL.

Usaha itu mengukuhkan lagi Link Net sebagai “FibreCo” atau syarikat infrastruktur jalur lebar tetap dan XL sebagai “ServeCo” iaitu syarikat perkhidmatan mudah alih tertumpu, tetap dan kandungan yang membolehkan kedua-dua entiti berskala, mempercepat ketangkasan organisasi serta memaksimumkan nilai.

Vivek berkata kumpulan itu turut mengunjurkan potensi peluang daripada pengukuhan mata wang, peningkatan sinergi daripada syarikat digabungkan serta faedah berterusan susulan pengoptimuman portfolio dan pengewangan aset.

“Kumpulan kekal optimis walaupun mengambil maklum mengenai cabaran seperti persaingan yang kian ketara di Indonesia dan Malaysia, keadaan yang tidak menentu di Bangladesh dan keperluan pembiayaan untuk pembangunan gentian di Indonesia.

“Kami juga menjangkakan untuk mencapai sasaran pertumbuhan hasil setahun penuh dengan pertumbuhan EBIT diunjur mengatasi petunjuk prestasi utama,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan