KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM189.91 juta pada suku kedua berakhir 30 Sept, 2024 berbanding RM185.33 juta bagi suku sama tahun kewangan 2024.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, bank itu menjelaskan perolehan meningkat kepada RM605.65 juta daripada RM528.10 juta bagi tempoh yang sama.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025, keuntungan bersih melonjak kepada RM366.56 juta daripada RM335.87 juta semasa tempoh sama tahun kewangan 2024, manakala perolehan meningkat kepada RM1.15 bilion daripada RM994.36 juta.
“Prestasi itu didorong terutama oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 15 peratus kepada RM955.9 juta yang disumbangkan oleh jumlah pinjaman lebih tinggi, dengan margin faedah bersih sebanyak 2.47 peratus.
“Pendapatan bukan faedah meningkat 16.1 peratus kepada RM189.5 juta, didorong oleh keuntungan dalam pendapatan pengurusan kekayaan, jualan pertukaran mata wang asing, yuran perdagangan serta perbendaharaan dan pendapatan pelaburan,” tambahnya.
Alliance Bank juga memaklumkan, pinjaman terus meningkat sebanyak 14.8 peratus tahun ke tahun kepada RM59.1 bilion, dengan semua segmen perniagaan merekodkan pertumbuhan dua angka dari tahun ke tahun.
Pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat 16.4 peratus, pinjaman komersial (16.2 peratus), pinjaman pengguna (14.3 peratus) dan pinjaman korporat (11.6 peratus).
“Deposit pelanggan berkembang sebanyak 13.8 peratus tahun ke tahun, menyokong asas pendanaan Alliance Bank yang positif, manakala nisbah keseluruhan akaun semasa akaun simpanan (CASA) kekal menjadi antara yang tertinggi dalam industri iaitu pada 40.9 peratus,” jelasnya.
Bank turut mengumumkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 9.50 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025.
Dividen itu akan dibayar pada 30 Dis, 2024 berdasarkan tarikh layak dividen yang ditetapkan pada 13 Dis, 2024.
Mengenai prospek, bank itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu oleh permintaan domestik yang mampan, didorong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang bertambah baik serta usaha baharu kerajaan untuk merangsang pertumbuhan.
Bagaimanapun, bank itu menyedari keadaan pemulihan keseluruhan yang tidak sekata dengan beberapa sektor menghadapi tekanan berterusan.
Oleh itu, Alliance Bank akan mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap potensi risiko negatif pertumbuhan yang berpunca daripada ketidaktentuan luaran, seperti ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
“Bank juga menyasar untuk meneruskan momentum pertumbuhan pinjaman pada tahun kewangan 2025 dengan amalan pengurusan risiko bersepadu di samping mengukuhkan asas pembiayaan.
“Alliance Bank juga akan terus melabur untuk menambah baik infrastruktur teknologi maklumat dan keupayaan digital bagi membolehkan kami mengemukakan saranan inovatif kepada pelanggan,” tambahnya.
-- BERNAMA