AM

ONN HAFIZ HARAP HUBUNGAN KERAJAAN NEGERI DAN MEDIA DIPERKUKUH

29/11/2024 11:17 AM

JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri dan media dapat diperkukuh seiring dengan kepesatan pembangunan Johor.

Beliau berkata peranan media amat penting dalam menyampaikan maklumat mengenai pembangunan pesat negeri serta inisiatif kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat dan menarik pelabur ke Johor.

“Tanpa anda, mesej tidak dapat disampaikan, dan tanpa anda, kami tidak dapat memaparkan imej positif yang sedang berlaku di lapangan,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) di sini, semalam.

Turut hadir, pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Katanya kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dilakukan KMJ dalam mejaga kebajikan serta mengeratkan hubungan pengamal media di negeri ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukan RM150,000 kepada KMJ untuk menjalankan aktiviti kelab berkenaan tahun depan berbanding RM90,000 yang diperuntukkan tahun ini.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata KMJ berhasrat untuk menghidupkan semula Anugerah Media Johor yang kali terakhir diadakan pada 2019.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berkata anugerah berkenaan tidak diadakan pada 2020 kerana negara dilanda wabak COVID-19.

“Kita berhasrat untuk menghidupkan semula anugerah ini bagi mengiktiraf usaha yang dilakukan pengamal media di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan