KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Tabung Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi telah diaktifkan bagi memberikan bantuan segera kepada warga kementerian yang terjejas akibat bencana banjir.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengaktifan tabung yang ditubuhkan sejak 2022 itu, bagi meringankan beban 54 warga kementerian yang telah dikenal pasti terkesan akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata setakat ini, mangsa yang terlibat terdiri daripada tiga kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), 26 warga Jabatan Penerangan (Japen), dua daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), 20 petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM), selain dua daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan satu kakitangan kementerian.
“Kita juga dapati ada sekurang-kurangnya 13 pengamal media terjejas akibat banjir. Untuk itu saya telah minta Bernama untuk terus pantau dan beri sumbangan kepada semua mangsa menerusi Tabung Kasih HAWANA (Hari Wartawan Nasional),” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Komunikasi di Pantai Dalam, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.
Mengulas lanjut mengenai situasi banjir yang melanda negara ketika ini, Fahmi berkata setakat ini sebanyak 124 stesen pemancar komunikasi didapati terjejas, manakala 47 Pusat Sebaran Maklumat Nasional tidak dapat beroperasi kerana mengalami kerosakan fasiliti.
Selain itu beliau berkata sebanyak 23 Komuniti MADANI dilaporkan terjejas di Terengganu, manakala status di negeri-negeri lain sedang dikenal pasti Japen.
“Untuk isu telekomunikasi itu MCMC sudah mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah liputan di kawasan terjejas termasuk menyelaras kerja-kerja baik pulih infrastruktur komunikasi agar penduduk dapat terus berhubung semasa bencana.
“Kita juga akan mengatur pergerakan komuniti MADANI daripada negeri yang tidak terjejas banjir bersama warga kementerian, untuk menghulurkan bantuan kepada kawasan terkesan terutamanya dalam soal pembersihan selepas air surut,” katanya.
Setakat pagi ini, keadaan banjir di tujuh negeri dilaporkan semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kini mencecah lebih 120,000 orang berbanding 106,505 orang malam tadi.
-- BERNAMA