AM

KPBKL TERIMA SUMBANGAN RM20.5 JUTA UNTUK BANTU PENGAJIAN PELAJAR ASNAF

01/12/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) menerima sumbangan RM20.5 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan beberapa syarikat bagi membantu pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian di kolej itu tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, RM19.85 juta adalah daripada dana zakat manakala RM699,350 lagi sumbangan syarikat seperti Tabung Haji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Zurich Takaful. 

"Kira-kira 85 peratus pelajar (di KPBKL) adalah dalam kalangan asnaf dan sumbangan yang diberikan ini diharapkan dapat memberi semangat kepada mereka untuk mengubah nasib diri dan keluarga sekali gus menjadi seorang daripada penyumbang zakat pada masa depan. 

"Sumbangan yang diterima juga melibatkan pelbagai bentuk seperti wakalah zakat, peralatan pendidikan dan pembinaan infrastruktur baharu seperti makmal komputer," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Soul Journey Belia Asnaf di kolej itu di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer. 

Penganjuran karnival yang julung kali diadakan itu bersempena sambutan Ulang Tahun MAIWP ke-50 dan melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk belia asnaf, wakil sektor korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) dengan pengisian program seperti sesi motivasi dan pertandingan sukan.

Na'im berkata menerusi karnival itu juga anak-anak asnaf dapat disantuni untuk terus berusaha berubah ke arah lebih baik yang seterusnya membantu mengubah status keluarga mereka pada masa depan. 

“Kita mahu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan pendidikan menjadi kunci paling penting  untuk membolehkan anak-anak ini mengubah nasib,” katanya.

MAIWP menerusi kenyataan memaklumkan program Soul Journey dimulakan pada tahun lepas bertujuan memupuk jati diri dan memberi asas keagamaan serta kekeluargaan kepada belia asnaf khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan