AM

RAJA MUDA SELANGOR BERKENAN RASMI ULANG TAHUN KE-50 KUAN TIEN KENG

03/12/2024 12:00 AM

KLANG, 2 Dis (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Kuan Tien Keng di Pandamaran di sini malam ini. 

Ketibaan Tengku Amir Shah pada 8 malam disambut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San serta Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu. 

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi, Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain dan Pengerusi Kuan Tien Keng Tan Sri Dr Jason Goh Teck Chai. 

Goh ketika ditemui berkata Raja Muda Selangor menzahirkan harapan supaya pihaknya turut memperluas usaha kebajikan rumah berhala Kuan Tien Keng kepada pembangunan dan penjagaan atlet di Selangor. 

"Tengku Amir Shah ada zahirkan cadangkan supaya pihak kami turut terlibat dalam penjagaan atlet di samping aktiviti kebajikan yang lain, saya menyambut baik cadangan itu dan akan diusahakan sebaik mungkin dari segi pemberian biasiswa atau bantuan lain yang sesuai," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini. 

Pada majlis berkenaan Raja Muda Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Fakir Miskin Baitul Sakinah As Shariff Selangor, Pusat Jagaan Warga Emas Lembaga Zakat Selangor Bait Al-Mawaddah. 

Selain itu, Persatuan Kebajikan Rumah Grace Klang, Persatuan Anak Yatim Kristian Selangor Good Samaritan Home dan Persatuan Pengurusan Rumah Jagaan Orang Tua Chik Sin Thong Klang dan Pantai Selangor. 

Kuan Tien Keng diasaskan pada tahun 1974 oleh mendiang Goh Kim Bok dan terlibat dengan pelbagai program kebajikan, khususnya membabitkan penjagaan warga emas, golongan miskin dan anak-anak yatim. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan